KPDNHEP pastikan undang-undang sedia ada kekal relevan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada sesi mesyuarat kali ini akan memperluaskan skop tangkapan tanpa waran bagi mengekang perbuatan jenayah mengikut akta itu.

Selain itu, pindaan itu akan membolehkan penjualan dibuat bagi barang sitaan jenis mudah rosak, mudah terbakar dan kos tinggi.

- Advertisement -

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, berkata pindaan akta itu juga menyentuh berhubung pengambilan sampel bagi memudahkan pembuktian pendakwaan di mahkamah.

Katanya, pindaan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (Akta 500) pula bertujuan untuk memperluaskan skop jualan langsung dalam usaha untuk menggalakkan amalan perniagaan berunsurkan jualan langsung yang baik di Malaysia.

“Dua akta itu dipinda kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa merancang dan menjalankan kajian serta menyemak semula undang-undang yang dikuatkuasakan bagi memastikan sentiasa relevan dengan perkembangan dan isu semasa.

“Usaha ini dapat dibuktikan dengan pelbagai pindaan serta penggubalan akta dan subsidiari di bawah akta-akta yang dikuatkuasakan oleh kementerian ini,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Alexander berkata, kementerian sentiasa komited melaksanakan kajian untuk meneliti kesesuaian untuk meminda peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa untuk ditambah baik selaras dengan persekitaran perniagaan yang dinamik serta merancakkan sektor perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan ke arah yang lebih progresif.

Katanya, peraturan-peraturan yang sedang dalam semakan dan diperhalusi untuk dipinda bagi kepentingan industri dan pengguna merangkumi Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik), Peraturan-Peraturan Sewa Beli dan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga Dan Antipencatutan. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!