75 terkorban, 125 cedera nahas kereta api di tenggara Congo

- Advertisement -

KINSHASA: Angka kematian nahas kereta api di tenggara Republik Demokratik Congo (DRC) kini mencecah kepada 75 orang dengan 20 mayat ditemui di bawah timbunan gerabak kereta api yang terbalik.

Ketua Syarikat Kereta Api Cono (SNCC), Fabien Mutomb dalam kenyataan pada Ahad (13 Mac) selepas melawat lokasi kejadian dengan pasukan yang melakukan siasatan berkata, jumlah penumpang kereta api yang maut meningkat kepada 75 orang, penambahan daripada 60 mangsa  sebelum ini. 

- Advertisement -

Terdahulu, pada Sabtu (12 Mac) lalu, pihak berkuasa mengumumkan 60 lelaki, wanita dan kanak-kanak terbunuh kemalangan yang berlaku pada malam Khamis (10 Mac) apabila kereta api perkhidmatan barang tergelincir di wilayah Lualaba.

Sehubungan itu, kenyataan berkenaan turut mengumumkan bahawa daripada 125 orang yang cedera, 28 berada dalam keadaan kritikal.

SNCC bagaimanapun belum menyatakan punca nahas berkenaan, tetapi penyiasat kini sedang  akan melihat keadaan trek kereta api secara lebih terperinci.

Pengarah infrastruktur SNCC, Marc Manyonga Ndambo pada Sabtu (12 Mac) lepas memberitahu bahawa kereta api itu terdiri daripada 15 gerabak, dengan 12 daripadanya kosong.

Kereta api malang yang membawa beratus-ratus penumpang  itu dalam perjalanan dari Luena di wilayah jiran dan sedang menuju ke  bandar perlombongan Tenke, berhampiran dengan Kolwezi, apabila kemalangan itu berlaku.

Ia tergelincir pada jam 11:50 malam (2150 GMT) di kampung Buyofwe, kira-kira 200 kilometer dari Kolwezi, menyebabkan tujuh gerabaknya terjunam ke dalam gaung.

Trek kereta api di lokasi kejadian telah dibersihkan tetapi tetapi gerabak-gerabaknya masih perlu ditarik keluar dari gaung berkenaan.

Kamalangan kereta api di Republik Demokratik Congo dikaitkan dengan bilangan penumpang yang berlebihan.

Sementara, Menteri Dalam Negeri Lualaba, Deodat Kapenda, yang turut melawat lokasi kejadian  itu dalam satu kenyataan pada petang Ahad (13 Mac) berkata bahawa kemalangan itu berkemungkinan berpunca daripada kehilangan daya cengkaman roda kereta api pada rel landasan secara tiba-tiba.

Dalam pada itu Mutomb, dalam kenyataannya berkata, salah satu  punca kemalangan berkenaan adalah muatan kereta api yang berlebihan kerana orang ramai menaikinya secara haram.

“Langkah-langkah akan diambil untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan mereka yang bertanggungjawab di sebalik kemalangan  itu akan dihukum,” tegas beliau.

Rakyat DRC kerap menaiki kereta api barang untuk mengembara ke seluruh negara itu  yang luas kerana kekurangan kereta api penumpang dan kesukaran melakukan perjalanan melalui jalan raya.

Insiden  kereta api tergelincir dari landasan adalah perkara biasa di DRC, begitu juga dengan bot yang lebih muatan karam di tasik dan sungai negara itu.

Menurut pangkalan data yang diselenggarakan oleh AFP, kemalangan minggu lalu adalah nahas kereta api terburuk di dunia sejak dua tahun lalu, dan kemalangan ketiga terburuk di Afrika dalam tempoh 10 tahun terakhir ini.

Kemalangan terakhir di DRC berlaku pada tahun 2014, apabila kereta api yang dinaiki beberapa ratus orang tergelincir di Katongola, di wilayah tenggara Kataga, mengorbankan 136 orang.

Mutomb dijangka kembali ke Kinshasa pada hari ini (14 Mac) untuk melaporkan tahap kerosakan akibat kemalangan kereta api berkenaan. – AFP

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!