Rakyat makin muak dipaksa mengundi

Calon Perikatan Nasional, Abdul Aziz Talib memenangi kerusi DUN Maharani pada PRN Johor 2022. (Foto: SYAHIRAH SALLEH)
- Advertisement -

Oleh M FAQIH

PILIHAN Raya Negeri (PRN
) Johor yang berakhir jam 6 petang tadi jelas memperlihatkan rakyat semakin muak dengan pilihan raya apabila peratusan keluar mengundi lebih kecil berbanding PRN Melaka dan Sarawak.

Situasi tersebut dapat dikesan lebih awal apabila laluan utama dari negeri lain ke Johor agak lenggang semalam, jauh berbeza situasi pilihan raya umum lepas. Ini bermakna perantau yang bekerja di negeri lain tidak ramai pulang mengundi.

Biarpun andaian awal sebelum ini bakal berlaku kejutan dengan kehadiran lebih 700,000 pengundi baru, namun ia meleset apabila Undi18 tidak ramai menyahut cabaran. Mereka mudah muak dan keliru.

- Advertisement -

Peratusan yang keluar mengundi memperlihatkan undi teras Umno yang terdiri penyokong tradisional terutamanya golongan veteran. Kawasan Felda yang menjadi deposit tetapUmno ternyata sukar digugat.

Malah tarikh pilihan raya juga seperti dirancang sebelum sempadan negara dibuka 1 April ini, dengan mengambil kira-kira 200,000 pengundi berdaftar Johor berada di Singapura.

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, kerajaan kelihatan seperti tidak serius memastikan rakyat keluar mengundi pada PRN Johor. Tiada gerakan serius dilakukan.

“Ini dibuktikan pintu sempadan diumumkan kerajaan dibuka 1 April ini, sedangkan berdasar maklumat terdapat kira-kira 200,000 pengundi berdaftar Johor bekerja di Singapura. Mereka sebahagian daripada 300,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura.

“Mereka tidak dapat balik mengundi kerana pintu sempadan belum dibuka. Ini mungkin antara strategi Umno memastikan hanya undi teras berpihak kepada mereka. Umno selamat kerana tidak ramai keluar mengundi,” katanya di sini ketika dihubungi malam ini.

Selain itu penularan semula Covid-19 turut menjadi antara faktor jumlah keluar mengundi kecil kecuali pengundi Cina yang lebih ghairah menunaikan tanggungjawab mereka.

Berdasar perkembangan di Johor dan Melaka, jelas kedua-dua negeri tersebut kembali menjadi benteng Umno. Cabaran sekarang menanti di zon tengah meliputi Negeri Sembilan dan Selangor yang masih dianggap kubu PKR dan PH.

Manakala Pahang, Perak dan Perlis memperlihatkan kekuatan yang seimbang antara BN dan PN. Gelanggang di negeri tersebut mampu menjadi ujian sebenar Umno.

Selain itu Kelantan, Terengganu dan Kedah dianggap kubu PAS menjadi tapak bagi melebarkan lagi pengaruh PN. Ia turut disumbang Sabah, di mana sekarang diketuai PN bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sarawak pula didominasi Gabungan Parti Sarawak yang terus utuh tanpa menyertai mana-mana koalisi dengan parti di luar negeri itu.

Geopolitik yang diwajahkan sekarang memperlihatkan BN kekal utuh di selatan, PKR+PH di zon tengah dan Pulau Pinang. Kelantan, Terengganu dan Kedah didominasi PAS (PN). Persaingan terbuka sekarang di Pahang dan Perlis yang masih bersisa Muafakat Nasional.

Mampukah Umno menguji pengaruh di Pahang atau Perlis, mungkin tidak. Ini kerana kedua-dua negeri terbabit masih diterajui Umno secara solo. Apapun jelas misi PRN Johor dan Melaka Umno berjaya menyingkirkan Bersatu dari saf kerajaan. Misi membalas dendam ternyata berjaya. Ternyata politik di Tanah Melayu semakin unik. – HARAKAHDAILY 12/3/2022

- Advertisement -