GELI hati melihat beberapa pimpinan utama Umno menelan bulat-bulat umpan yang dilempar Naib Presiden PAS kelmarin.
Dalam satu ceramah oleh Dato’ Mohd Amar Abdullah, beliau sinis menyebut Singapura lebih maju kerana tiada Umno di sana. Ayat ini nampaknya tertusuk ke lubuk hati yang paling dalam bagi pimpinan Umno.
Apa tidaknya, pimpinan Pemuda, calon Menteri Besar, Dato’ Seri Hasni Mohammad dan terbaru Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri. Mereka cukup beremosi apabila disebut ‘Singapura maju tanpa Umno’.
Sedangkan sekian lama, mereka memperleceh Negeri Kelantan, menghina sosio-ekonomi Kelantan dengan pelbagai ejekan. Namun apabila terusik sedikit ego mereka, masing-masing mendada bangun menunjukkan amarah.
Pimpinan Pemudanya menyebut Singapura bernasib baik kerana tiada pembangkang seperti PAS. Ini sudahpun menjadi bahan lelucon warganet kerana Exco Pemuda Umno Malaysia yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan itu seakan-akan lupa siapa kerajaan dan siapa pembangkang di Malaysia ketika ini. Lucu dan tohor.
Selepas itu nampaknya Dato’ Seri Hasni sendiri pula menelan umpan ini. Oriental Daily melaporkan beliau menyebut, “If Singapore had Umno, it would be more developed than it is now”. Ini juga menjadi bahan kepada kritikan dan hentaman kuat rakyat.
Kata-kata sombong beliau itu, dalam masa beberapa jam sahaja dimuat naik dalam laman berita media sosial, dikecam ribuan rakyat daripada latar belakang urban dan sub-urban. Masing-masing menempelak Hasni. Middle class citizen Johor kelihatan semakin muak dan jelak dengan perangai pimpinan Umno ini.
Kemuncak kepada fenomena ‘koyak’ Umno dalam isu ‘Singapura maju tanpa Umno’ adalah Presiden mereka sendiri yang membalas sindiran Dato’ Amar.
Kata beliau, kononnya Singapura lebih maju berbanding Malaysia kerana negara itu tidak diperintah oleh Umno, disifatkannya sebagai alasan tidak berintelektual untuk memperkecilkan pihak lawan.
“Kalau kita mahu memperkecilkan lawan atau rakan politik lain, saya fikir gunakanlah alasan yang lebih intelektual,” ucap Zahid di Tangkak.
Wah-wah Dato’ Seri, masa pimpinan Umno segenap peringkat menghina Kelantan, tanpa asas fakta, apatah lagi nilai intelektual, Dato’ Seri senyum sahaja. Tetapi bila dicubit sedikit oleh kami, seluruh hulubalang parti dan Dato’ Seri sendiri melompat?
Itulah dia Umno, yang hidupnya sentiasa mahu dipuja dan dipuji, yang terus merasa hebat walaupun pernah ditunjuk jalan keluar Putrajaya oleh pengundi pada PRU-14 lalu.
Susah rupanya mahu insaf ini. Kalau ada pun perasaan itu, ia hanya sebentar sewaktu poket kosong, tiada projek, ‘jalan sepak kertas’ dan kuasa politik negara berada di tangan orang.
Setelah beroleh kembali sedikit ruang kuasa, ada yang kembali gila. Rakyat dilupa. Apa pun hari ini, rakyat ketawa, umpan ‘Umno tiada di Singapura’, nampaknya mengena.
MOHD AZREEN MUSTAPHA
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 11/3/2022