Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Pemimpin Islam di negara ini dianggap kurang sensitif terhadap isu berkaitan akidah menyebabkan isu seumpama itu tidak menjadi tarikan utama.
Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana persoalan berkaitan akidah adalah isu besar dalam Islam.
“Kalau moderator tanya saya, mengapa pemimpin (Islam) tidak terlibat secara langsung dalam isu ini, pada pandangan saya, ia berkaitan al-wa’yul Islami, kesedaran Islam yang sangat rendah.
“Kita rasa tidak sensitif akan perkara yang besar, yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu perkara yang berkait akidah perlu kita letakkan di hadapan.
“Gelombang kesedaran dalam kalangan rakyat juga tidak dapat digerakkan menyebabkan isu ini kurang diketengahkan,” katanya pada forum ‘Mempertahankan Aqidah Tiga Kanak-Kanak Mualaf – Tanggungjawab Siapa ??’ di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini kelmarin.
Turut ditampil sebagai ahli panel hebat Mufti Perlis Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin, manakala Presiden Pembela, Aminudin Yahya bertindak sebagai moderator.
Pada Februari lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan tiga adik-beradik yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan kepada ibu mereka, Loh Siew Hong.
Loh dalam permohonan writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.
Tiga anak Loh iaiatu kembar perempuan berumur 14 dan seorang lelaki berumur 10 tahun sebelum ini diIslamkan bapanya setelah berpisah dengan isterinya.
Tuan Guru Hashim juga berkata, PAS sentiasa melakukan pelbagai usaha sejak dahulu bagi mengangkat taraf mahkamah syariah bagi memelihara kepentingan Islam.
“Sebab itulah, RUU355 yang dibentangkan di Parlimen, atas kesedaran bahawa kita kena buat sesuatu untuk melahirkan kesedaran Islam.
“Dalam kes tiga kanak-kanak tersebut yang peluk Islam, tetapi mereka tidak terbela. Sebab itu kita minta supaya martabatkan mahkamah syariah di negara kita,” ujarnya.
Menurutnya juga selagi negara menggunapakai sistem sedia ada, isu-isu berkaitan Islam tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2022