Oleh ANNA TAN
SEGAMAT: Pengundi kaum Cina di Johor dinasihat tidak termakan sentimen politik kebencian yang dibangkitkan pihak tertentu bagi meraihkan undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah, Isaac Wong Kah Kiat berkata, terdapat parti tertentu cuba membangkitkan kemarahan kaum Cina terhadap kaum lain.
Kataya, ia bertujuan merosakkan perpaduan kaum yang hidup aman damai di negara ini sejak merdeka.
“Kami yakin kaum Cina di Johor bijak menapis unsur-unsur negatif tersebut. Malah politik kebencian tersebut juga sudah lama ditolak termasuk di Sabah,” katanya di sini.
Beliau ditemui ketika kempen membantu calon PN Dun Jementah Maimunah Safwah Musa dari PAS di Kampung Baru Jementah. Pada PRN tersebut Cikgu Muna berdepan calon MCA dan DAP.
Isaac juga berkata, sehingga sekarang sudah ramai pemimpin DAP di Sabah yang keluar parti terbabit kerana menolak politik kebencian.
Antaranya bekas penasihat DAP Sabah, Dato’ Jimmy Wong, mantan Adun Luyang, Hiew Khing Chew dan bekas Adun Elopura Calvin Chong Ket Chuin.
“Di Sabah sudah ramai yang keluar parti kerana menyedari kepincangan kepimpinan parti terbabit,” katanya.
Beliau juga yakin rakyat Johor bijak memilih pemimpin yang mampu memperjuangkan nasib mereka di ke Dewan Undangan Negeri.
Selain itu menurutnya calon yang diketengahkan PN berintegriti tinggi dan bertanggungjawab bagi membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – HARAKAHDAILY 11/3/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!