MERSING: Calon Perikatan Nasional bagi DUN Tenggaroh, Roslan Nikmat berusaha membawa aduan yang diterima daripada penduduk tempatan kepada pihak yang berkenaan.
Bermula sejak berkempen selepasa penamaan calon pada 26 Februari lalu, beliau menerima pelbagai aduan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat dalam DUN Tenggaroh yang masih tidak dapat diselesaikan.
Beliau berusaha menemui pelbagai pihak termasuk jabatan berkaitan untuk mendapat penjelasan berhubung masalah yang dialami penduduk setempat.
Berikut ialah penjelasan Cikgu Lan terhadap masalah yang dibangkitan penduduk di DUN Tenggaroh.
Isu yang dibangkitkan sepanjang berada di Tenggaroh ini isu generasi kedua tidak ada rumah, isu jalan rosak, isu jalan tidak ada lampu, isu tidak ada Balai Bomba, balai polis, isu babi berkeliaran dalam kampung, isu anak muda yang ingin menceburi bidang pertanian, ada yang boleh bela lembu nak dekat 300 ekor tapi mereka ada masalah untuk dapatkan khidmat nasihat dan sebagainya.
Jadi alhamdulillah, saya cuba naik ke pejabat JKR hasrat kita untuk tanya apa status, apa tindakan JKR terhadap jalan yang rosak di Tenggaroh 5 dan 6.
Bila jalan tu rosak dia korek, tambah, dan korek lagi akhirnya kena kepada batang paip dan akhirnya air terputus, maka mengambil masa agak lama untuk membetulkan paip.
Saya pergi ke pejabat JKR dengan harapan nak jumpa jurutera daerah nak bagitahu kenapa jadi begitu. Tapi malangnya pejabat JKR tutup, tapi tak mengapalah sekurang-kurangnya sudah bagitahu jaga bahawa saya datang nak jumpa.
Yang kedua pergi ke pejabat TNB nak bincang masalah api (lampu) jalan, kenapa lama sangat api jalan tidak ada.
Jadi sampai dekat sana berjumpa dengan pegawai-pegawainya dan memberi beberapa respons, dia (TNB) tidak hendak pasang lampu LED dan tiang elektrik pun tidak ada dan sebagainya.
Saya bercadang dengan pihak tertentu. Alhamdulillah jumpa dengan Datuk Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Mersing berbincang dengan beliau jika beliau dapat ikhtiarkan untuk pasang lampu LED.
Perjumpaan dengan beliau, beliau akan usahakan untuk dapatkan lampu LED dipasang sepanjang jalan dekat Tenggaroh 5 atau 6.
Pihak TNB bagitahu mereka tidak boleh pasang kerana tidak ada tiang. Jadi nak pasang tiang bukan boleh buat dalam sehari dua, pihaknya akan fokus untuk akan datang.

Yang ketiga waktu saya membuat lawatan ke pulau, saya dapati jeti daripada tempat naikkan penumpang sampai ke darat. Jambatannya uzur sangat, bimbang tersalah pijak jatuh ke dalam air.
Nampak ada juga rumah-rumah ibu tunggal duduk seorang sahaja di rumah. Kemudian kelmarin saya pergi ke Tenggaroh 5, Tanjung Leman melawat satu rumah, ada mak cik tu dia sakit limpa rosak menyebabkan perut menjadi besar, macam membusung, dia baring saja, kemudian tanya dia setakat ini macam mana?
Memang orang kampung orang tua tidak tahu nak buat apa, dan wheelchair pun tidak ada.
Saya pergi ke JKM, saya terangkan apa yang berlaku sebab masa tu saya sekali dengan YB Dr Alias, exco kerajaan negeri Terengganu dan alhamdulillah YB ikhtiarkan satu wheelchair sumbangkan kepada makcik tersebut.
Saya panjangkan kepada JKM, saya bagitahulah kenapa ada golongan yang terbiar, orang yang berhak mendapat perhatian, bantuan dan sebagainya.
Dia kata cikgu kalau mereka tidak bagitahu kita, kita pun tak tahu. Jadi makcik-makcik orang tua orang kampung, dia pun tidak tahu mengadu hal dengan siapa. Dia ada cakap juga nak mengadu dengan wakil rakyat batang hidung pun tidak nampak, dia kata wakil rakyat yang ada memang jarang turun padang. Tidak tahu masalah yang dihadapi oleh orang kampung.
Satu lagi yang cikgu nampak kenapa penduduk di Pulau Sibu Atau Pulau Tinggi ni agak ketinggalan dari segi arus pembangunan. Kadang-kadang budak-budak sekolah dari rumah nak ke sekolah kena ikut pantai, naik bot, jadi kenapa tidak difikirkan satu jalan pintas darat kalau tidak laluan motosikal.
Kemudian jeti yang buruk tadi, rumah usang yang ada di pulau, kenapa perkara ini boleh ketinggalan?
Waktu saya pergi ke masjid atau surau sepanjang saya berada di Tenggaroh hanya dua buah, satu masjid dan satu surau yang tidak membenarkan saya memperkenalkan diri.
Tapi walau bagaimanapun, di Tenggaroh Timur surau-surau dan di masjid adalah Tenggaroh 1 di sana. Walau bagaimanapun, di Tenggaroh 1, kita buat cubaan kedua untuk minta izin nampaknya tidak berjaya.
Akhirnya Menteri kita, Ustaz Idris Ahmad solat Maghrib dekat sana saya cuba rapat dengan pengerusi memperkenalkan bahawa yang datang pada malam ini adalah Menteri Agama, jadi nampaknya boleh duduk sekali dan kita boleh berbincang dengan agak mesra juga.
Sebelum ini agak tegang juga. Kemudian yang kedua waktu berada di Tenggaroh timur ketika berjumpa dengan pengerusi dia pun memberi jawapan yang sama juga masjid tidak boleh berpolitik.
Saya cakap ini nak memperkenalkan diri bukan ceramah pun tidak boleh. Jadi kebetulan pula pengerusi yang kata tidak boleh itu adalah pengapit kepada calon Perikatan Nasional.
Jadi berjumpa dia lagi sekali di rumah kenduri kahwin sudah boleh berbincang secara lebih kurang dan selepas daripada hari itu maknanya saya pergi satu warung berjumpa dengan dia sudah boleh bincang dengan ramah mesra, bertukar fikiran, tidaklah pertembungan itu berlarutan.
Satu yang saya tak sangka ketika balik dari Tenggaroh 5 singgah ke bilik gerakan Barisan Nasional. Di situ ada empat orang, saya bagi salam, tidak menunjukkan rasa tidak puas hati, mesra macam mana saya masuk bilik PDM Perikatan Nasional begitu juga saya masuk ke bilik Barisan Nasional (BN).
Akhirnya nampak mereka berada di bilik BN tapi jiwa mereka macam bersama dengan kita.
Umpama isu yang kita bangkitkan di sana jalan gelap, bila berjumpa dengan saya dia kata cikgu, cikgu ikhtiarkanlah supaya dapat pasang lampu, lampu LED pun tak apa. Insya-Allah bila cikgu pasang lampu, kelebihan untuk cikgu.
Jadi saya dapat baca bahawa walaupun orang Umno ini lahir untuk bersama-sama dengan parti dan calon, hakikatnya hati kecil mereka bersama-sama dengan kita. Itulah yang saya alami.

Dia kata cikgu jawapan yang kami terima ialah pihak yang bertanggungjawab kata penduduk tidak ramai, tidak berbaloi diberi kemudahan. Saya kata tidak betul tu, walaupun ada 10 orang dia tetap rakyat Malaysia, perlu diberikan perhatian.
Jadi saya panjat ke pejabat JKM dapatlah berkongsi dengan pegawai. Jadi insya-Allah lah walaupun kita belum menang tetapi apabila rakyat mengadu hal dengan kita, ambil tindakan awal dulu apa yang boleh kita bantu mereka.
Alhamdulillah apabila saya pergi ke pejabat JKM, saya singgah juga di pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Rupanya masyarakat Orang Asli juga menghadapi masalah, perkampungan Orang Asli Sungai Tuba, mereka pun ada masalah jalan. Jalan yang tidak diberikan perhatian untuk naik taraf dan sebagainya.
Mereka ada permohonan sudah lama. Jadi saya kata permohonan kena ada follow up, tapi dia kata ADUN pun tidak berapa ambil berat, cara dia lah.
Kami daripada PAS (Perikatan Nasional) biasa hidup susah. Jadi apabila kita berpeluang jumpa orang kampung, kita rasa terpanggil bahawa ini tanggungjawab kita.
Andai kata tidak menang, harap menanglah, kita kena kenal pasti masalah orang kampung, tetap kita usahakan untuk memberi bantuan melalui NGO-NGO kita yang ada dengan apa jua sekalipun. Kalau tidak pun kita akan bincang dengan kawan-kawan kita yang ada dalam kerajaan dekat JAKOA, JKM mungkin kita boleh usahakan dengan cara yang lain walaupun bukan sebagai ADUN atau wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 11/3/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!