Pesakit pemindahan jantung babi pertama meninggal dunia selepas dua bulan

David Bennett Jr. (kanan) berdiri di sebelah katil hospital yang menempatkan bapanya, David Bennet pada 12 Januari 2022, lima hari selepas doktor memindahkan jantung babi ke dalam tubuh Bennett Sr. itu, dalam usaha terakhir untuk menyelamatkan nyawanya. (FOTO AP)
- Advertisement -

WASHINGTON: Individu pertama di dunia yang menerima pemindahan jantung daripada babi yang diubah suai secara genetik telah meninggal dunia dua bulan selepas peristiwa penting industri perubatan tersebut.

Pihak hospital University of Maryland Medical System (UMMS) yang menjalankan pembedahan berkenaan dalam kenyataannya pada Rabu (9 Mac) berkata, prosedur itu sebelum ini telah menimbulkan harapan bahawa kemajuan dalam pendermaan organ rentas spesies suatu hari nanti dapat menyelesaikan kekurangan kronik organ manusia yang tersedia untuk didermakan, dan pasukan perubatan di sebalik operasi pembedahan berkenaan berkata mereka optimis tentang kejayaan masa depannya.

- Advertisement -

David Bennett, 57, telah menerima pemindahan jantung babi berkenaan pada 7 Januari 2022 dan meninggal dunia pada 8 Mac lepas.

“Tiada punca jelas yang dikenal pasti pada masa kematiannya,” kata jurucakap hospital berkenaan, sambil menambah bahawa pakar perubatan sedang menjalankan kajian semula yang akan diterbitkan dalam jurnal saintifik.

Pengarah Program Xenotransplantasi Jantung UMMS, Muhammad M. Mohiuddin bagaimanapun berkata dalam satu kenyataan video bahawa Bennett mengalami ‘episod jangkitan’.

“Kami menghadapi kesukaran untuk mengekalkan keseimbangan antara imunosupresi pesakit (David Bennet) dan mengawal jangkitannya,” jelasnya.

Pakar perubatan di hospital University of Maryland Medical System, Amerika Syarikat, Muhammad M. Mohiuddin (kanan) dan Bartley P. Griffith

Sementara menurut kenyataan UMMS lagi, keadaan kesihatan Bennett mula merosot beberapa hari lalu dan selepas menjadi jelas bahawa dia tidak akan sembuh, lelaki itu diberi penjagaan paliatif. 

“Dia dapat berkomunikasi dengan keluarganya pada saat-saat terakhir hayatnya. Selepas pembedahan, jantung (babi) yang dipindahkan kepadanya telah berfungsi dengan baik selama beberapa minggu tanpa sebarang tanda penolakan,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut UMMS lagi, selepas pembedahan, Bennett dapat meluangkan masa bersama keluarga, mengambil bahagian dalam terapi fizikal, menonton kejohanan Super Bowl dan sering bercakap tentang ingin pulang ke rumah untuk melihat anjingnya, Lucky.

“Beliau terbukti seorang pesakit yang berani dan mulia yang berjuang sehingga ke saat akhir hayatnya.Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya,” kata pakar bedah yang mengetuai  prosedur pembedahan, Bartley P. Griffith.

Terdahulu, Bennett yang datang ke hospital di negeri Maryland timur AS pada Oktober 2021 terpaksa berbaring di di atas katil hospital berkenaan dengan mesin bantuan hayat kecemasan. 

Ketika itu, dia telah dianggap tidak layak untuk menjalani pemindahan jantung manusia, suatu keputusan perubatan yang sering diambil apabila penerima mempunyai kesihatan asas yang sangat teruk.

Anggota pasukan perubatan hospital University of Maryland Medical System dirakam ketika melakukan prosedur pembedahan terhadap David Bennet pada 8 Januari 2022. (FOTO University of Maryland Medical System)

Dalam pada itu, Mohiuddin berkata bahawa pasukan prosedur pembedahan ke atas Bennet itu telah ‘mendapat pandangan yang tidak ternilai’ daripada pengalaman itu.

“Kami tetap optimis dan merancang untuk meneruskan kerja kami dalam ujian klinikal pada masa akan datang,” tegasnya.

Laporan di media AS sebelum ini mendedahkan Bennett telah disabitkan kesalahan menikam seorang lelaki beberapa kali pada tahun 1988, menyebabkan mangsa lumpuh dan berkerusi roda sebelum meninggal dunia pada 2005.

Walau bagaimanapun, pakar etika perubatan berpendapat bahawa sejarah jenayah lampau seseorang seharusnya tidak mempunyai kaitan dengan rawatan masa depan mereka.

Dalam pada itu menurut data rasmi AS, kira-kira 110,000 rakyat Amerika sedang menunggu  untuk menjalani pemindahan organ, dan lebih daripada 6,000 pesakit mati setiap tahun sebelum berjaya mendapatkannya.

Bagi memenuhi permintaan, pakar perubatan sudah lama berminat dengan apa yang dikenali sebagai xenotransplantation atau pendermaan organ rentas spesies, dengan eksperimen dilakukan menjejak kembali atau merujuk kepada pengalaman di abad ke-17.

Penyelidikan awal tertumpu pada penuaian organ daripada primata, contohnya, jantung babun telah dipindahkan ke dalam seorang bayi yang baru lahir dikenali sebagai Baby Fae pada tahun 1984, tetapi dia hayatnya hanya bertahan selama 20 hari.

Baru-baru ini, perhatian dunia perubatan telah beralih kepada babi. Sekarang ini, injap jantung babi digunakan secara meluas pada manusia, dan kulit babi dicantumkan pada mangsa terbakar manusia. – AFP

- Advertisement -