Kadar kematian individu ambil dos penggalak rendah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Stastistik kadar kematian individu yang mengambil dos penggalak didapati lebih rendah.

Bagaimanapun Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, di Kedah kadar vaksinasi dos penggalak baharu mencapai 40 peratus.

Katanya terdapat kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) dan majoriti mangsa terdiri daripada individu yang tidak mengambil vaksin dos penggalak.

- Advertisement -

“Ini cabaran kerajaan untuk memastikan lebih ramai mengambil dos penggalak terutama yang berusia 60 tahun ke atas.

“Walaupun simptom varian Omicron bergejala ringan namun ia tetap tidak boleh diambil mudah.

“Di Kedah Covid-19 lebih merupakan kes sporadik yang dikesan dalam komuniti, namun tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada,” katanya di sini.

Menurut laman Covid Now, Kedah mencatat 81 kematian sejak dua minggu lalu, iaitu kelima tertinggi selepas Johor, Lembah Klang, Selangor dan Sabah.

Justeru itu beliau menasihat mana-mana individu yang dijangkiti wabak Covid-19 segera menghubungi hotline Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sekiranya keadaan semakin teruk dan melarat.

Menurutnya juga individu yang mengalami simptom seperti demam atau selesema digesa melakukan ujian Covid-19 secara kendiri untuk memastikan kondisi sebenar.

Kata beliau langkah itu perlu dibuat memandangkan hampir 90 peratus kes kematian di Kedah akibat wabak berkenaan hanya diketahui selepas meninggal dunia.

Katanya kebanyakan seseorang itu menyangka mereka hanya mengalami selesema biasa, namun sebenarnya terkena jangkitan terbabit.

“Apabila keadaan semakin teruk dan terpaksa dibawa ke hospital, pesakit sudah tahap serius dan terkena pneumonia,” katanya.

Dr Mohd Hayati juga berkata, individu yang dijangkiti Covid-19 diarahkan kuarantin kendiri di rumah, di mana mereka perlu mengamalkan TRIIS iaitu ujian, lapor, mengasingkan, memaklum dan mencari sekiranya mengalami simptom. – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -