Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) merancang menutup tapak pelupusan sisa pepejal terbuka dan digantikan dengan stesen pemindahan bagi memastikan kelestarian alam sekitar.
Menterinya, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, berkata stesen pemindahan berfungsi sebagai pusat pengumpulan sisa di kawasan strategik sebelum dilupuskan ke tapak pelupusan sisa pepejal sanitari berpusat yang dilengkapi dengan loji rawatan air larut resap dan lapisan liner.
Katanya, KPKT juga merancang membina loji rawatan sisa pepejal `Waste to Energy’ (WtE) di negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Projek WtE atau menjana tenaga dari sisa pepejal bertujuan mengatasi masalah kekurangan tapak pelupusan di bandar-bandar utama yang menjana sisa pepejal melebihi 500 tan sehari dan semakin meningkat sepanjang tahun.
“Selain itu, loji ini mampu mengurangkan janaan gas rumah hijau dan seterusnya membantu negara mencapai sasaran pengurangan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030,” katanya menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat.
Wan Hassan meminta KPKT menyatakan perancangan untuk mengurangkan penggunaan tapak pembuangan sisa pepejal terbuka ke arah melestarikan alam sekitar.
Reezal Merican berkata, projek WtE tidak hanya terhad kepada teknologi insinerator dan boleh menggunakan teknologi lain seperti Anaerobic Digestor (AD), pirolisis dan gasifikasi.
Katanya, penentuan jenis fasiliti pengurusan sisa pepejal bagi sesuatu tapak perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti jenis sisa yang akan dirawat, jumlah janaan sisa bagi mendapatkan skala ekonomi dan jarak kawasan kutipan sisa pepejal.
“Ini bagi memastikan fasiliti pengurusan sisa pepejal yang dibina dapat beroperasi pada kos efektif dan berkesan serta memberikan impak yang minimum kepada alam sekitar dan masyarakat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai perancangan transformasi di Terengganu yang mempunyai tujuh pusat pelupusan sisa pepejal, katanya KPKT hanya menguruskan fasiliti pengurusan sisa pepejal negeri yang menerima pakai Akta 672.
Bagi Terengganu yang tidak menerima Akta 672, katanya fasiliti berkenaan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.
Bagaimanapun, beliau berkata KPKT tetap komited untuk memperkenalkan teknologi baharu di Terengganu dan kawasan yang menjana sisa pepejal melebihi 500 tan sehari. – HARAKAHDAILY 8/3/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!