Oleh NOR HAZWANI NOH
KLUANG: Selvendran Velu menyeru rakyat Johor memberi peluang kepada Perikatan Nasional untuk memerintah menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau yang bertanding di DUN Paloh berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin Perikatan Nasional sangat berpengalaman untuk membangunkan negeri ini.
“Kepada pengundi Paloh, beri satu peluang kepada Perikatan Nasional. Semua rakyat, penduduk Johor ini, Bangsa Johor ini berilah peluang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti Perikatan Nasional untuk memerintah.
“Sebab Tan Sri begitu masak dan tahu segala masalah di Johor ini. Tan Sri pernah jadi MB, Perdana Menteri, beliau sangat berpengalaman,” ujarnya semasa ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, para pemimpin Perikatan Nasional terutama di bawah kepimpinan Muhyiddin khususnya di negeri ini mempunyai banyak pengalaman.
“Jadi bagilah satu peluang, kita akan buat satu kerajaan yang telus, bersih dan amanah,” katanya.
Beliau menyeru para pengundi di DUN Paloh memberikan kepercayaan kepadanya untuk membawa perubahan.
“Saya minta khusus kepada masyarakat Paloh, banyak perubahan yang kita perlu bawa untuk DUN Paloh. Saya tengok lima tahun belum tentu saya boleh selesaikan, begitu banyak untuk golongan miskin sahaja.
“Tak nafikan, golongan kaya memang kaya, mereka hidup selesa. Untuk orang Melayu Islam, orang India, orang Cina yang miskin, kita perlu buat banyak lagi perubahan di sana.
“Kalau diberikan kepercayaan, kami akan buat yang terbaik, kerajaan yang telus dan saya daripada PAS, saya dididik untuk berpegang kepada prinsip amanah,” katanya yang juga Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS negeri.
Tambahnya, PAS menekankan betapa penting untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Amanah sangat penting, walaupun saya seorang Hindu, ini dunia atau bumi sementara (jambatan) sahaja. Tidak tahu berapa lama lagi (di sini), tuhan saja yang tahu.
“Saya tidak pentingkan bumi, saya pentingkan akhirat. Itu PAS ajar saya. Sekarang saya berpegang kepada prinsip itu, saya akan buat yang terbaik untuk masyarakat Paloh,” katanya lagi.
Menurutnya, situasi dan kemudahan yang ada di pekan Paloh masih tidak banyak berubah sejak dahulu.
“Saya tengok sudah masuk 2022 pasar dekat sana yang saya tengok masa saya kecil, masih lagi sistem pasar kampung.
“Stesen bas dekat sana masih lagi stesen bas 70-80-an. Di Paloh sentral ada barisan kedai tetapi barisan kedai itu macam 70-an.
“Apa yang sepatutnya orang pekan ada contohnya satu shopping mall tidak besar sekurang-kurangnya ada satu, di sana tidak ada.
“Yang paling menyedihkan lagi dari segi kesihatan, klinik kesihatan hanya ada satu, orang komplen pergi sana (klinik kesihatan) mereka akan hantar ke hospital besar Kluang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta para pengundi di Dun Paloh memberikan kepercayaan kepadanya untuk melakukan yang terbaik kepada masyarakat.
“Saya minta kalau masyarakat Paloh boleh beri kepercayaan kepada saya, saya akan buat yang terbaik dengan kerjasama semua masyarakat, penduduk-penduduk kampung.
“Saya selalu percaya kekuatan kita adalah bila kita bersatu. Bersatu itu bukan orang kaya-kaya, saya tidak percaya.
“Saya percaya orang-orang tempatan sana kita bekerjasama. Saya akan tubuhkan satu team untuk setiap perkampungan. Apa masalah mereka, kita akan buat baik pulih berperingkat,” ujarnya lagi.
Pada PRN Johor kali ini, Selvendran berhadapan dengan Sheikh Umar Bagharib Ali (PH-DAP), Lee Ting Han (BN-MCA) dan Aminuddin Johari (Pejuang).
Pada pilihan raya lalu, kerusi DUN itu dimenangi oleh Sheikh Umar dengan majoriti 783 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian PRN Johor. – HARAKAHDAILY 9/3/2022