Malaysia lancar pasaran minyak sawit dalam talian pertama di dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR : Firma teknologi Malaysia, DiBiz semalam telah melancarkan pasaran dalam talian pertama di dunia untuk minyak sawit mampan untuk menggalakkan jualan produk yang diperakui sebagai pematuhan terhadap pemeliharaan  alam sekitar.

Platform dagangan, dikenali sebagai Trustparent Marketplace akan menghubungkan pembeli dan penjual minyak sawit merentasi rantaian bekalan dan mempunyai langkah tambahan untuk kebolehkesanan bagi memastikan komitmen industri untuk ‘Tiada Penebangan Hutan, Tanpa Gambut dan Tanpa Eksploitasi’.

- Advertisement -

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif DiBiz, U.R. Unnithan, yang juga presiden Persatuan Biodiesel Malaysia, berkata, penggunaan Trustparent Martketplace adalah sama seperti melayari Amazon untuk membeli sebarang produk yang diingini pengguna.

“Kini, setiap syarikat pemegang kepentingan dalam industri minyak sawit boleh memasuki ke pasaran Dibiz,” ujarnya kepada Reuters.

Menurut Unnithan, aplikasi DiBiz yang berfungsi sebagai platform digital untuk pekebun kecil dan peniaga sawit itu diperkenalkan oleh DiBiz Malaysia Sdn. Bhd. bagi membolehkan urus niaga dapat dijalankan  dengan lancar dan lebih telus serta cepat.

“Aplikasi ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk pekebun kecil dan peniaga tanpa melibatkan sebarang kos dan boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store (Android) dan App Store (IOS),” jelas beliau.

Aplikasi DiBiz menyediakan platform digital untuk pekebun kecil dan peniaga sawit itu menjalankan urus niaga dengan lancar, lebih telus dan pantas.

Tambahnya, antara kelebihan DiBiz adalah setiap pekebun dapat menerima maklumat mengenai penggredan tandan buah segar (TBS) daripada peniaga atau kilang serta-merta selain dapat melihat harga TBS secara harian.

“Aplikasi tersebut dilengkapi lima bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Indonesia. Melalui aplikasi ini, pekebun boleh mendapatkan harga terkini TBS di laman web Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” ujarnya.

Tambah Unnithan, pekebun juga boleh menyimpan semua rekod iaitu maklumat penuaian, nota pengiriman, nota jambatan timbang, penggredan TBS secara digital di aplikasi itu yang boleh diakses setiap masa.

“Aplikasi ini dapat membantu peniaga antaranya dari segi menyelesaikan masalah dalam penjadualan, penuaian, pembajaan dan pengangkutan di samping memantau kualiti TBS bagi setiap pekebun kecil,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, ia bagi mengelakkan kecurian TBS selain dapat menarik minat generasi muda di FELDA untuk sama-sama terlibat dalam penanaman kelapa sawit.

Terdahulu, pengkritik menyalahkan pengembangan pesat ladang kelapa sawit untuk penebangan hutan hujan dan pelanggaran hak asasi manusia, yang mendorong pemulauan pengguna terhadap minyak makan.

Namun pegawai industri minyak sawit berkata, kempen sebegitu menghalang usaha untuk mencapai pensijilan kemampanan dan pembangunan pasaran untuk minyak sawit mampan yang diperakui (CSPO).

Kira-kira 14.6 juta tan atau 19.3 peratus minyak sawit global yang dihasilkan diperakui oleh Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang dilihat sebagai piawaian global untuk tuntutan kemampanan.

Bagaimanapun, penanam kelapa sawit di Indonesia dan Malaysia, dua negara  pengeluar minyak sawit terbesar dunia, telah mengadu bahawa permintaan untuk minyak yang lebih mahal dengan pensijilan CSPO adalah kurang walaupun melabur berjuta-juta untuk memenuhi keperluan. – HARAKAHDDAILY 9/3/2022

- Advertisement -