AS dakwa dua beradik kes penipuan mata wang kripto AS$124 juta

John Barksdale telah ditahan dan berdepan dengan hukuman penjara selama 65 tahun jika sabit kesalahan atas dakwaan penipuan sekuriti, penipuan dalam talian dan tuduhan konspirasi melibatkan bisnes mata wang kripto.
- Advertisement -

NEW YORK: Pihak berkuasa Amerika Syarikat pada Selasa (8 Mac) memfailkan pertuduhan jenayah terhadap eksekutif mata wang kripto dan pertuduhan sivil terhadap John Barksdale dan adiknya, JonAtina Barksdale atas dakwaan menipu pelabur runcit berjuta-juta dolar dengan token digital yang dikenali sebagai Ormeus Coin.

Dalam kertas yang difailkan di mahkamah persekutuan Manhattan, Jabatan Kehakiman berkata Barksdale berbohong tentang nilai dan keuntungan aset perlombongan Ormeus Coin, termasuk dakwaan token digital itu kononnya disokong oleh operasi industri perlombongan bernilai AS$250 juta (RM1.05 bilion) yang menjana lebih daripada AS$5 juta hasil bulanan.

- Advertisement -

Barksdale dan adiknya, JonAtina telah didakwa secara berasingan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) kerana menjalankan tawaran palsu yang tidak berdaftar bagi Ormeus Coin.

SEC dalam kenyataannya berkata, sejak tahun 2017, adik-beradik Barksdales itu telah mengumpul sebanyak AS$124 juta daripada lebih 20,000 pelabur melalui syarikat pemasaran milik mereka, Ormeus Global SA, dan membelanjakan berjuta-juta dolar untuk kos perjalanan  (termasuk ke Rom di Itali, sehingga ke India dan Singapura), hartanah dan perbelanjaan peribadi lain.

Menurut pihak berkuasa AS, dua beradik  itu mempromosikan Ormeus Coin melalui jerayawara dan media sosial, serta jumbotron Times Square di Manhattan yang mengisytiharkan: ‘Ladang Perlombongan Mata Wang Kripto AS$250 Juta didedahkan dalam Audit Undang-undang oleh Ormeus Coin.’

John Barksdale  dan adiknya, JonAtina didakwa dakwaan menipu pelabur runcit berjuta-juta dolar dengan token digital dikenali sebagai Ormeus Coin.

“Barksdales telah bertindak sebagai ‘jurujual minyak ular’ (ungkapan biasa yang digunakan untuk menggambarkan seseorang yang menjual, mempromosi atau penyokong umum sesuatu yang sebenarnya  tidak bernilai  atau bersifat penipuan) zaman moden  dalam mengelirukan pelabur,” ulas Pengarah Bersekutu Bahagian Penguatkuasaan SEC, Melissa Hodgman dalam satu kenyataan.

Peguam untuk dua beradik Barksdales bagaimanapun belum dapat dikenal pasti buat masa masa ini.

Jabatan Kehakiman dalam kenyataannya berkata, John Barksdale telah ditahan dan berdepan  dengan hukuman penjara selama 65 tahun jika sabit kesalahan atas dakwaan penipuan sekuriti, penipuan dalam talian dan tuduhan konspirasi, menurut Jabatan Kehakiman.

Dalam pada itu menurut kenyataan SEC pula, kedua-dua pihak tertuduh merupakan warga AS, yang mana John Barksdale, 41, pernah tinggal di Thailand, manakala JonAtina Barksdale, 45, di Hong Kong.

Selain Singapura, John dan JonAtina Barksdales banyak berkunjung ke luar negara termasuk Itali dan India.

Pengerusi SEC, Gary Gensler telah melabelkan  industri mata wang kripto sebagai ‘Wild West’ dunia kewangan dan mahu pertukaran mata wang kripto mendaftar dengan SEC.

Terdahulu, Rumah Putih telah mempertimbangkan pengawasan yang meluas ke atas pasaran mata wang kripto di AS, sebahagiannya untuk menangani perisian tebusan dan jenayah siber yang lain.

Presiden Joe Biden dijangka dalam minggu ini akan mengarahkan Jabatan Kehakiman dan agensi persekutuan lain untuk mengkaji kemungkinan kesan daripada penciptaan mata wang digital di bank pusat AS. –  Reuters

- Advertisement -