Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) , melaksanakan sebanyak 202 program kepimpinan untuk mengasah bakat, kemahiran dan kepimpinan golongan wanita sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata pelbagai program yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) memanfaatkan seramai 100,923 peserta.
Menurutnya, program berbentuk latihan, advokasi dan pendedahan memberi kesedaran dan meningkatkan kemampuan wanita mempengaruhi keputusan berkaitan interaksi sosial.
Katanya, antara program utama kepimpinan wanita ialah Forum Kepimpinan Kendiri: Bangkit Sendiri yang bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan aspek kepimpinan dan keperluan wanita bangkit menghadapi sebarang cabaran dalam kehidupan.
“Program utama lain ialah Simposium Wanita Dalam Pengajian Tinggi yang dilaksanakan oleh JPW bersama Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara, Universiti Sains Malaysia (USM)
“Simposium itu membolehkan wanita membincangkan dan berkongsi pandangan, idea atau inovasi mengenai isu dan trend semasa berkaitan era disruptif, kelestarian dan kepimpinan dalam pendidikan tinggi,” katanya menjawab soalan lisan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) di Dewan Rakyat, hari ini.
Shaharizukirnain meminta KPWKM menyatakan perancangan untuk mengasah bakat kepimpinan wanita untuk memastikan lebih ramai golongan wanita bersedia untuk memimpin.
Siti Zailah berkata, JPW juga mengadakan Konvensyen Pemimpin Muda 2021 untuk mengumpulkan maklumat bagi penambahbaikan agenda pemerkasaan wanita daripada pemimpin muda pelbagai latar belakang negara ini.
Katanya, maklum balas pemimpin muda dijadikan rujukan untuk penggubalan dasar pada masa hadapan dengan fokus perbincangan berdasarkan enam kluster, iaitu pekerjaan dan penjanaan pendapatan, pendidikan dan kesaksamaan gender, kepimpinan dan politik, kesihatan, keselamatan dan perundangan.
“Program Pemerkasaan Gender dan Kepimpinan Wanita Muda & Wanita Berkerjaya pula diadakan sepanjang tahun melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri.
“Tujuan program ini diadakan untuk memberi inspirasi kepada wanita muda dan berkerjaya mengenai teknik kepimpinan, meningkatkan kebolehpasaran wanita muda untuk menduduki kerusi lembaga pengarah dalam sektor korporat dan kebolehupayaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang,” katanya.
Dalam Belanjawan 2022, katanya kerajaan memperuntukkan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi menjalankan latihan kepimpinan muda. – HARAKAHDAILY 9/3/2022