
SINGAPURA: Hujan lebat telah menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa bahagian di Singapura pada petang Isnin (7 Mac).
Agensi Air Negara (PUB) Singapura dalam kenyataannya berkata, kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di Jurong East Street 32 pada jam 3.20 petang dan di Enterprise Road pada 4.05 petang.
“Jalan raya di lokasi terjejas ditutup, dan pasukan PUB bertindak balas dengan pantas untuk membantu pengguna jalan raya yang terlibat dalam kejadian,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan PUB lagi, kejadian kedua-dua banjir kilat itu bagaimanapun surut dalam tempoh 30 minit.
Amaran risiko banjir turut dikeluarkan di beberapa lokasi termasuk Choa Chu Kang Avenue 1, Teck Whye Lane, Woodlands Road, International Road, Wan Lee Road, Jalan Boon Lay, Second Chin Bee Road dan Jalan Tukang.
Sebuah video yang tersebar di Facebook menunjukkan apa yang kelihatan seperti sebuah trak yang tersangkut dalam banjir kilat.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, pihaknya menerima panggilan telefon meminta bantuan di sepanjang Jalan Choa Chu Kang Lama kira-kira jam 3.45 petang.
“Seorang pemandu ditemui terkandas di dalam lorinya dalam banjir kilat. Penyelamat SCDF bergerak ke dalam air dengan berhati-hati dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter dan memasang alat pengapungan peribadi kepada pemandu. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” ujar kenyataan SCDF.

Dalam pada itu menurut PUB, taburan hujan paling lebat direkodkan di barat Singapura ialah 134.2mm di stesen hujan Jurong West Street 42 dari jam 2.35 petang hingga 4.45 petang.
“Ini bersamaan dengan 88 peratus daripada purata hujan bulanan Singapura pada Mac dan terletak dalam 1 peratus teratas rekod hujan harian maksimum sejak 1981,” ujar kenyataan itu lagi.
Terdahulu, pada 1 Mac lalu, Jabatan Meteorologi Singapura (MetSingapura) mengumumkan bahawa cuaca sejuk dan hujan pada Februari dijangka berterusan hingga separuh pertama Mac, dengan hujan petir dijangka pada kebanyakan hari.
“Secara keseluruhan, taburan hujan untuk dua minggu pertama bulan Mac dijangka melebihi purata di kebanyakan bahagian Singapura,” ujar kenyataan itu. – CNA