Kedutaan Malaysia sedia bantu rakyat negara keluar dari Ukraine

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Hanya ada seramai empat orang warga Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev masih berada di Ukraine.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata bilangan itu selepas tujuh orang rakyat Malaysia, termasuk kakitangan serta tanggungan pegawai kedutaan dipindahkan dari Ukraine ke Poland, tempoh hari.

- Advertisement -

Katanya, ada di kalangan rakyat negara di Ukraine berkahwin dengan warga tempatan.

“Pihak kedutaan melalui kerjasama Perwakilan Malaysia di negara berdekatan Ukraine sentiasa berhubung rapat dengan warga Malaysia yang masih berada di negara itu.

“Selain itu, pihak kedutaan kita sentiasa bersedia untuk membantu jika mereka berhasrat untuk keluar dari negara itu,” katanya menjawab soalan lisan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin berkata, bantuan yang diberikan termasuk memudahkan urusan kemasukan di sempadan negara, urusan dokumentasi seperti pengeluaran Sijil Perakuan Cemas bagi individu yang memerlukan, memastikan keadaan serta kebajikan mereka sentiasa terpelihara dan urusan lain yang berkaitan.

Sementara itu, merujuk kepada video berdurasi 45 saat yang dimuat naik dalam talian mendakwa bahawa sekumpulan pelajar Malaysia masih terkandas di Ukraine, katanya sehingga kini, tiada pengesahan dapat dibuat terhadap dakwaan tersebut serta identiti mereka sebagai warga Malaysia.

“Namun, saya ingin menggesa warga Malaysia di Ukraine yang masih belum mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan segera berbuat demikian,” katanya.

Saifuddin menyatakan komitmen kerajaan yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di luar negara.

Katanya, Kementerian Luar Negeri melalui perwakilan berdekatan Ukraine sentiasa bersedia untuk membantu jika mereka berhasrat untuk keluar dari negara itu. – HARAKAHDAILY 8/3/2022