Covid-19 ringan kecilkan saiz otak – Kajian saintis UK

- Advertisement -

LONDON: Gejala jangkitan Covid-19 walaupun dalam bentuk ringan, didapati boleh menyebabkan pengurangan dalam saiz otak individu yang dijangkiti virus maut berkenaan.

Hasil kajian tersebut diperolehi selepas sekumpulan saintis di United Kingdom melakukan kajian imbasan otak terhadap lebih 400 individu yang sebelum ini dijangkiti Covid-19, kebanyakannya membabitkan kes ringan.

Didapati bahawa saiz otak keseluruhan  peserta dalam kajian tersebut  telah mengecil antara 0.2 dan 2 peratus, dan pesakit mengalami kehilangan bahan kelabu di kawasan yang dikaitkan dengan bau, dan kawasan yang berkaitan dengan daya ingatan.

- Advertisement -

Melalui hasil kajian saintifik berkenaan yang diterbitkan pada Isnin (7 Mac) dalam jurnal sains Nature, dinyatakan bahawa kesan yang ketara daripada golongan bekas ‘pesakit’ Covid-19  ialah mereka yang baru pulih didapati agak sukar untuk melakukan tugas melibat pemikiran mental yang kompleks. 

Saintis utama yang terlibat dalam kajian tersebut,  Prof Gwenaelle Douaud, dari Wellcome Centre for Integrative Neuroimaging, Oxford University, London berkata, penemuan terbaharu itu agak mengejutkan.

“Hasil kajian terhadap individu yang dijangkiti Covid-19 pada tahap ringan pun sudah menunjukkan perbezaan dalam saiz otak mereka yang telah berubah, berbanding individu yang tidak pernah dijangkiti virus berkenaan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, kajian itu menggunakan maklumat biologi daripada projek berasingan, UK Biobank, yang telah memantau laporan kesihatan 500,000 individu selama kira-kira 15 tahun; dan mempunyai pangkalan data imbasan otak yang direkodkan sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, yang memberikan peluang unik untuk mengkaji kesan kesihatan jangka panjang virus berkenaan.

Kajian itu bagaimanapun belum dapat menentukan sama ada terdapat sebarang variasi dalam kesan varian Covid-19 terhadap otak dan juga sama ada perubahan saiz otak bekas pesakit coronavirus yang mengecil itu akan kekal atau berubah pada masa hadapan.

“Kita perlu ingat bahawa otak manusia adalah seumpama plastik, maksud kami ia boleh menyembuhkan dirinya sendiri. Jadi ada peluang yang sangat baik, dari masa ke masa, kesan berbahaya jangkitan Covid-19 akan berkurangan pada individu yang telah dijangkiti,” kata Douaud. – Reuters

- Advertisement -