RM1.69 juta untuk bantuan banjir di Kemaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menyantuni mangsa banjir di Felda Seberang Tayor, Kemaman, hari ini.

Belaiu yang turun bersama Pasukan Menteri Agama menyampaikan sumbangan musaadah banjir berjumlah RM1,699,350.

“Alhamdulillah, RM1,699,350 sumbangan musaadah banjir telah disampaikan kepada keluarga-keluarga dan penduduk yang ditimpa musibah banjir besar tempoh hari,” ujarnya menerusi laman sosial beliau.

- Advertisement -

Sebelum ini, katanya beliau hanya mendapatkan update terkini daripada kenalan sahaja.

“Hari ini berada di tempat kejadian dan bertanya sendiri dengan mangsa yang terlibat.

“Berat ujian yang menimpa sahabat-sahabat kita di sini termasuklah di sekitar Pantai Timur yang terjejas,” ujarnya lagi.

Menurutnya, Skuad Musaadah Banjir telah dulu turun bagi menyantuni mangsa banjir sejak dari awal kejadian.

“Inilah semangat ukhuwah yang diajarkan Islam agar kita saling membantu orang dalam kesusahan.

“Turunnya kami pada hari ini menyampaikan sedikit sumbangan berupa kewangan, barangan asas, kit solat, kit kebersihan, selimut, toto, bakul makanan dan sebagainya,” tambahnya.

Beliau mengharapkan sumbangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YaPEIM (Official), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Taqwa-MAIWP  serta Celcom itu dapat meringankan beban yang dipikul mangsa banjir.

Idris turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Amal, badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan para sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan pasca banjir. – HARAKAHDAILY 7/3/2022

- Advertisement -