Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) komited memastikan projek pembinaan benteng banjir di Sungai Golok dapat dipercepatkan.
Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu bagi memastikan banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang tidak berulang pada tahun akan datang.
Katanya projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) yang merangkumi dua fasa tersebut dapat mengurangkan kesan banjir.
“Kita cuba mempercepatkan pembinaan benteng bagaimanapun banjir atau limpahan air tetap berlaku ketika dalam proses pembinaan sekarang.
“Cuma banjir baru-baru ini merupakan limpahan Sungai Golok dan jumlah hujan selama dua hari menyamai jumlah dua bulan,” katanya pada sidang media selepas program Jom Kembali ke Sekolah di Pasar raya Mydin Kubang Kerian hari ini.
Hadir sama Adun Demit, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Adun Salor, Saiful Adli Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Narendran Maniam dan Pengurus Besar Negeri Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Mohd Azrul Akmal Mamat.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan fasa pertama PLSB Sungai Golok Kesban dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
Fasa kedua katanya, mempunyai dua projek besar iaitu pembinaan benteng banjir bernilai RM265 juta di bandar Rantau Panjang.
“Kementerian dan JPS sudah kenal pasti kawasan, kelulusan dan di peringkat design serta tender. Kedua, pembinaan benteng bagi fasa dua, bagi melengkapkan pakej Kesban fasa satu. Kita yakin dapat kurangkan kesan banjir,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2022