KUALA LUMPUR: Al-Quds dan Palestin adalah milik Islam dan umatnya yang dibuktikan dari peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W serta dinyatakan di dalam al-Quran.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, bumi itu malah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum Kaabah di Makkah al-Mukarramah.
“Dan tempat israknya Nabi S.A.W bermulanya Mikraj. Dan Nabi kita dijemput menjadi imam sembahyang berjemaah dengan roh Nabi-nabi di Masjid Aqsa.
“Ini menandakan ia sangat berkait dengan para Anbiya’ dan Islam adalah agama Nabi-nabi,” ujarnya pada Forum Perdana Ehwal Islam mengupas tajuk ‘Al-Quds, Satu Perjuangan’ di RTM TV1 sebentar tadi.
Program sempena Sambutan Minggu Al-Quds ini bersiaran secara langsung dengan dimoderatorkan oleh Ustaz Mohd Hariri Muhamad Daud dan perantara, Ustaz Rizal Ramli di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
Palestin juga katanya, mempunyai hubungan langsung dengan Nabi Musa A.S dan Nabi Ibrahim A.S serta Nabi Muhammad S.A.W dan bumi Makkah serta agama-agama Samawi bersama umat Islam, penganut Yahudi, Kristian termasuk Musyrikin.
Menurutnya, umat Islam lebih berhak ke atas Palestin kerana ia dibuka oleh Nabi Ibrahim A.S, sedang kaum Yahudi dimurkai dan dilaknat Allah Taala serta diharamkan ke atas mereka.
Jelasnya, kaum Yahudi telahpun diajak Nabi Musa A.S untuk memasuki Palestin, namun mereka menolak, walhal sebelumnya mereka diselamatkan Allah dari Firaun melalui pimpinan Nabi Musa.
Mereka juga kata beliau, telah berkali-kali didatangkan bencana dan diselamatkan serta diberi kitab-kitab, tetapi tetap menyeleweng sehingga merempat di serata dunia dan dihalau usir dari tempat kediaman.
“Sehinggalah ditakluk Rom Timur Bizantine, dan zaman Khalifah Umar bin Khattab R.A, Islam membebaskan Palestin di atas nama Islam,” terang beliau yang juga Presiden PAS.
Menurut beliau, Zionis ditubuhkan oleh Theodor Herzl melalui gerakan Freemason di zaman Raja Herodous yang bercita-cita pulang ke Palestin bagi mengembalikan semula Empayar Nabi Sulaiman A.S.
Pun begitu tegasnya, ia perjuangan yang batil, sedangkan Paderi Besar Ortodoks Baitulmaqdis sendiri menolak penjajahan Bizantine, tetapi memeterai perjanjian damai di masa Khalifah Umar al-Khattab R.A
Begitu juga katanya, walaupun Baitulmaqdis juga pernah ditakluk Eropah, namun ia dikembalikan kepada Islam di bawah Sultan Salahuddin al-Ayubi yang berketurunan Qurdis.
“Kemudian Baitul Maqdis jatuh lagi, selepas orang Islam alpa. Di zaman fanatik Nasionalisma Arab menentang Kerajaan Uthmaniyah yang juga dikepung oleh Nasionalisma Turki menyebabkan jatuhnya Uthmaniyyah.
“Uthmaniyyah dalam keadaan yang lemah. Namun di masa kelemahan Uthmaniyah itu, Sultan Abdul Hamid didatangi oleh Theodor Herzl menawarkan rasuah berjuta pound, di zaman itu satu tawaran yang mahal.
“Dengan syarat Sultan Abdul Hamid serahkan Palestin kepada orang Yahudi. Sultan Abdul Hamid dengan murka, marah menjawab, saya tidak akan mengotori, menghitamkan sejarah Islam yang mulia ditulis oleh nenek moyang saya Sultan-sultan Uthmaniyah dengan tinta emas.
“Theodor Herzl dihalau dari Istana di Istanbul dan pulang di Eropah dan berlakunya perjanjian Sykes Picot untuk memecahkan untuk membahagi-bahagikan wilayah Uthmaniyah kepada kuasa-kuasa Barat. Palestin dapat kepada British.
“Dan British melalui Balfour Menteri Luar British jadi Perdana Menteri selepas itu menyerahkan Palestin kepada Yahudi,” ujarnya mengimbas ‘tragedi’ itu. – HARAKAHDAILY 3/3/2022