TUDM laksana latihan operasi hingga 7 Mac

Orang awam tidak perlu bimbang jika melihat pesawat terbang rendah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan latihan operasi dan kesiagaan bagi aset-aset udara bermula hari ini hingga 7 Mac membabitkan kawasan sekitar Selangor, Pahang, Terengganu dan Pulau Pinang.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang latihan berlangsung, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu khususnya di sekitar Selangor serta Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu; Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

- Advertisement -

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah di sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan latihan yang diadakan itu bagi menilai kecekapan anggota dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.

“Latihan ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -