KeTSA cadang langkah segera atasi tunggakan pembahagian pusaka

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mencadangkan langkah  segera bagi mengatasi kes tunggakan pembahagian pusaka di negara ini yang direkodkan sebanyak 72,348 sehingga 31 Disember tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata lambakan kes tunggakan itu berlaku disebabkan oleh negara dilanda dengan pandemik Covid-19 yang melibatkan perintah kawalan pergerakan (PKP). 

- Advertisement -

“Jika tidak berlaku perkara ini (pandemik Covid-19), kes tunggakan ini tidaklah sebanyak ini,” katanya.

Menurutnya, jumlah kes tunggakan pembahagian pusaka mengikut negeri adalah 616 kes di Perlis, Kedah (13,423 kes), Pulau Pinang (2,965 kes) dan Perak (6,868 kes)

“Seterusnya, Selangor dengan 10,358 kes, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan (2,050 kes), Negeri Sembilan (4,300 kes) dan Melaka (4,326 kes). 

“Sementara itu, Johor mencatat  9,062 kes, Pahang (6,242 kes), Terengganu, (4,724 kes) dan Kelantan (7,414 kes),” katanya ketika menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, di sini pada hari ini.

Terdahulu, Sabri  meminta Takiyuddini menyatakan statistik kes tunggakan pembahagian pusaka mengikut negeri dan langkah segera kementerian dalam menyelesaikan masalah ini.

Sehubungan itu Takiyuddin berkata, langkah segera kementeriannya dalam menyelesaikan masalah kes tunggakan berkenaan adalah dengan menggerakkan Pasukan Petugas Khas di bawah waran perjawatan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

Menurutnya, langkah ini dapat membantu perbicaraan kes pusaka dengan kerjasama daripada Kerajaan-kerajaan Negeri.

“Seterusnya, Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka juga telah dimulakan di Negeri Kedah pada 14 Februari 2022.

“Langkah selanjutnya ialah  mengemukakan permohonan khusus kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi permohonan lantikan kakitangan secara kontrak,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2022

- Advertisement -