Bangladesh eksport sejuta pekerja tahun ini

Lebih 10 juta warga Bangladesh kini tinggal dan bekerja di luar negara. (FOTO Shutterstock)
- Advertisement -

DHAKA: Bangladesh sedang berusaha untuk menghantar sejuta warganya untuk bekerja di luar negara sepanjang tahun ini.

Setiausaha tambahan pekerjaan, dasar dan penyelidikan di Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Mohammed Abdul Kader berkata, negara itu  kini meningkatkan kempen vaksinasi Covid-19  untuk mencapai sasaran angka tersebut.

- Advertisement -

Menurutnya, pada ketika ini, lebih 10 juta warga Bangladesh menetap dan bekerja di luar negara, terutamanya di Timur Tengah.

“Kami mempunyai rancangan untuk mengeksport satu juta pekerja dari Bangladesh ke negara-negara  yang berbeza di seluruh dunia, dan kami sedang berusaha untuk meneroka setiap kemungkinan dalam perkara berkenaan,” ujar Kader.

Menurut kenyataan Biro Pekerjaan dan Latihan Tenaga Manusia Bangladesh, kumpulan pekerja yang yang dieksport ke luar negara merupakan penyumbang kedua terbesar kiriman wang asing negara  itu selepas sektor pakaian. 

“Pada tahun lepas sahaja, golongan tersebut  menghantar lebih AS$22 bilion pulang ke tanah air,” ujar kenyataan tersebut.

Sasaran kerajaan Bangladesh itu hampir dua kali ganda bilangan pekerja yang dieksportnya pada tahun lalu, apabila sekatan pandemik Covid-19 tekah mengehadkan perjalanan ke seluruh dunia.

Pihak berkuasa negara itu juga berharap mereka akan dapat mencapai sasaran itu kerana kebanyakan penduduk Bangladesh sudah divaksin.

“Pada masa ini, tidak ada negara di dunia yang menerima pendatang dari luar negara  tanpa lengkap dua dos vaksin. Memandangkan kami telah mencapai pencapaian vaksinasi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia justeru akan memastikan kami terus mendahului dalam menghantar pekerja asing ke pasaran dunia, berbanding dengan negara-negara  jiran kami,” tambahnya.

Terdahulu, WHO telah menggesa negara-negara di seluruh dunia untuk mencapai 70 peratus perlindungan vaksin dalam jumlah rakyat masing-masing untuk menghentikan penyebaran pantas Covid-19.

Dengan populasi kira-kira 170 juta, Bangladesh ketika ini sudah memberikan kira-kira 210 juta dos vaksin Covid-19. 

Memandangkan peningkatan tersebut, pihak berkuasa kesihatan Bangladesh menganggarkan bahawa 70 peratus rakyat Bangladesh akan diberi dua vaksin sepenuhnya menjelang awal April ini.

Sehubungan itu Kader berkata bahawa dengan kebanyakan rakyatnya sudah divaksinasi, kerajaan negara itu  merancang untuk memperluaskan penghijrahan buruhnya ke negara-negara Eropah pula.

“Pada awal Februari, kami menandatangani memorandum persefahaman  (MoU) dengan Greece untuk menghantar pekerja asing, yang merupakan satu kejayaan sebenar dalam sektor pengeksportan tenaga kerja kami.

“Sekarang ini  kami cuba membuka tetingkap baharu dengan negara-negara Eropah yang lain jugam,” jelasnya.

Kepelbagaian destinasi akan datang itu timbul apabila pasaran buruh utama Bangladesh iaitu  Arab Saudi, yang menempatkan lebih 2.5 juta pekerja negara itu, yang pada tahun lepas mencecah 75 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja migran Saudi kini semakin meraih saingan daripada pekerja lain-lain negara.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh, Ali Haider berkata, Bangladesh mempunyai sumber pekerjaan manusia yang besar, yang tidak dimiliki oleh banyak negara lain di dunia. 

“Justeru, bagi memaksimumkan kelebihan itu, kita perlu mewujudkan lebih ramai pekerja mahir dan menyediakan latihan kepada pendatang mengikut keperluan negara penerima,” ujarnya. 

Dalam pada itu menurut Ketua Program Migrasi di organisasi pembangunan terbesar yang berpangkalan di Bangladesh, BRAC, Shariful Hasan dalam senario pasca Covid-19, lebih banyak pekerjaan akan tersedia untuk pakar teknologi perubatan, dan kerajaan negara itu harus memberi tumpuan kepada latihan dalam sektor berkenaan.

“Kami jauh ke hadapan sekarang dari segi pelaksanan vaksinasi Covid-19, dan terdapat permintaan yang besar dalam pasaran buruh dunia sekarang ini. Kita harus merebut peluang tersebut,” tegasnya. – Arab News

- Advertisement -