Anda terus kecewa harap laporan TV seimbang

- Advertisement -

M FAQIH

MENGIKUTI
perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melalui media elektronik masih membosankan. Rata-rata ramai berhujah seperti kembali era sebelum 2018.

Lebih-lebih lagi menonton siaran stesen swasta. Berita PRN Johor hampir didominasi Umno dan Barisan Nasional (BN). Situasi serupa berlaku pada PRN Melaka November lepas. Anda akan terus kecewa sekiranya mengharap laporan yang seimbang.

Hakikat itu turut diakui pemimpin akar umbi. Kata mereka mengikuti Buletin Utama setiap jam 8 malam, banyak berita tentang Umno dan BN.

- Advertisement -

“Orang ramai yang ditemui stesen tv itu pun cerita tentang jasa Umno dan BN. Nak tengok siaran berita Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) usah harap,” kata mereka.

Rupanya analisis serupa juga diluahkan pengkaji media Dr Chamil Wariya. Sedangkan sebelum ini ramai mengharap perubahan liputan media di negara kita selepas 2018.

Setidak-tidaknya selepas era BN ada sedikit perubahan pelaporan media. Rupa-rupanya tidak. Masih sama dengan metode lama.

Mungkin mengambil kira kondisi itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa memberi komitmen berbeza. Kata beliau kerajaan sedia memberi ruang calon yang bakal bertanding menggunakan saluran disediakan RTM sebagai medium untuk memperkenalkan diri.

Peluang turut diberi kepada pembangkang. Kata Annuar inisiatif itu atas usaha untuk melengkapkan proses demokrasi matang.

“Semua calon adalah sama, macam di PRN Melaka, semua calon termasuk Bebas dan pembangkang turut diberi ruang memperkenalkan diri.

“Rakyat berhak mengenali dan membuat pilihan sendiri,” katanya selepas menghadiri program temubual di RTM Johor baru-baru ini.

Stesen TV bantu Umno

Apakah elemen yang dipertahankan stesen televisyen swasta memperlihatkan pengaruh primordial.

Kata sarjana Barat, Almond dan Huntington, negara yang mempunyai sistem politik dipengaruhi elemen primordial sukar untuk diwujudkan sistem demokrasi tulen. Adakah anda setuju.

Biar apa pun stesen televisyen swasta terbabit jelas berjaya membantu Umno pada misi di Melaka November lepas.

Kejayaan itu turut disumbang peratus keluar mengundi PRN Melaka hanya 65.5 peratus. Sedangkan ketika BN jatuh pada PRU 2018 jumlah keluar mengundi 84.7 peratus.

Kelembapan keluar mengundi juga berlaku pada PRN Sabah, hanya mencatat 66.61 peratus. Trend serupa juga berlaku di Sarawak Disember lepas.

Seramai 759,627 orang atau 60.67 peratus daripada pemilih berdaftar keluar mengundi PRN ke-12 Sarawak. Ia membabitkan pengundi biasa, pengundi awal dan pos.

Berdasar trend yang berlaku di Melaka dan Sarawak parti yang menguasai kerajaan muncul sebagai pemenang. Ketua Menteri Melaka kekal tidak berubah. Sulaiman Md Ali kekal di kerusi lama.

Begitu juga Abang Johari Openg kekal terajui Sarawak. Perubahan ketua kerajaan hanya berlaku di Sabah pada September 2020. Shafei Apdal diganti Hajiji Noor daripada parti berbeza.

Bagaimana pula epidemik di Johor, mampukah menjejaki apa yang berlaku Melaka atau Sarawak. Atau mengulangi de jure (hukum) yang berlaku di Sabah.

Sebelum Dun Johor dibubar Umno memiliki 14 kerusi dan MIC (1). Bersatu pula 11 kerusi dan PAS (1). Manakala pembangkang pula DAP (14 kerusi), PKR 7 dan Amanah (6).

Persoalannya apakah Umno mampu mengulangi kejayaan di Melaka. Melaka dan Johor sebelum 2018 dikenali benteng akhir Umno. Namun, sekarang sudah berbeza.

Lebih-lebih lagi kehadiran 749,731 pengundi 18 tahun ke atas. Kondisi itu tentunya menyukarkan Umno mengulangi sejarah di Melaka. Cuba kita jengok sekejap faktor penyumbang.

Pertama, momentum Abah menjadi taruhan di Johor utara dan timur. Batu Pahat, Muar dan Pagoh diakui mempunyai pengaruh kuat Muhyiddin Yassin.

Baru-baru ini Umno mengheret team ‘kluster mahkamah’ ke lokasi tersebut. Najib Razak berkempen di Pagoh. Manakala Ahmad Zahid memilih Ayer Hitam.

Pada PRU14 Umno menang 14 daripada 15 Dun yang memiliki pengundi Melayu lebih 70 peratus. Dun terbabit iaitu Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parti Raja, Rengit, Kahang, Endau, Tenggaroh, Panti, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tanjung dan Benut.

Umno membuktikan kejayaan mengekal majoriti 70 peratus Melayu seperti berlaku di Melaka. Namun, komposisi undi Melayu 50-69 peratus terdapat 25 kerusi. Begitu juga peratus pengundi Melayu bawah 50 peratus pula ada 16 Dun.

Menjadi taruhan sekarang 41 lagi kerusi campuran. Pada PRU lepas BN dibantu dua kerusi disumbang MIC. Sebaliknya bagi komposisi pengundi Melayu bawah 50 peratus pada PRU lepas didominasi PH.

Namun, petunjuk PRN Melaka, kerusi beralih kepada kepada MCA dan MIC. Ini bermakna 16 kerusi peratusan pengundi Melayu bawah 50 peratus tidak lagi menjadi benteng selamat PH. 

Pilihan terbuka sekarang bagi merebut 41 kerusi campuran. Kita intai apa kelebihan lain yang ada sekarang. Bagaimana momentum peneroka Felda. Adakah mereka masih terhutang budi kepada Muhyiddin.

Undi peneroka

Jasa Muhyiddin melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka sukar dilupakan. Kira-kira 25,000 peneroka Felda tinggal di 20 Dun di Johor. Peneroka tahu kerajaan BN dan PH gagal membantu mereka sebelum ini.

Ia diakui bekas Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda, Mazlan Aliman. “Tidak dapat disangkal Muhyiddin mengambil langkah proaktif membawa perubahan di Felda,” kata Mazlan.

Ketiga, BN dan PH tandus tokoh yang kompeten di Johor. Pengorbanan Abah membelanjakan RM530 bilion membantu rakyat ketika wabak Covid-19 masih menjadi ingatan makcik dan pakcik sampai bila-bila.

Situasi itu juga dikesan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud. Katanya, kepimpinan Abah jauh meninggalkan Dr Puad Zakarshi dari Umno dan Dr Maszlee Malik (PKR).

Keempat, banyak program dan projek pernah dirancang kerajaan PN Johor dibatalkan kerajaan diketuai Umno. Antaranya Kad Sihat Johor pernah dirintis bekas Menteri Besar PN Dr Sahruddin Jamal.

Kad itu dirancang bagi manfaat golongan B40. Selain itu projek jalan raya Johor Bahru-Mersing, sambungan lebuh raya Utara Selatan dari Pagoh dibatalkan BN.

Begitu juga projek hub Industri Ruminan di pesisir pantai dari Muar ke Johor Bahru masih lagi tergendala.

Kelima, parti mana yang serius mendukung pemimpin dan tadbir urus berintegriti, bebas rasuah serta menolak penyalahgunaan kuasa. Calon PN juga melakukan baiah dan ikrar akujanji.

Ia berbeza dengan manifesto BN. Biarpun ada disebut ikhtiar membudaya pentadbiran berintegriti, namun tidak kedengaran pula tindakan serius dilakukan. Rakyat di kampung tanya, apa yang BN buat 61 tahun tadbir Johor. Sekarang datang pula janji baru.

Lima elemen tersebut boleh menjadi panduan rakyat Johor memangkah 12 Mac ini. Kata makcik Kiah, ‘kami sayang Abah’. – HARAKAHDAILY 3/3/2022

- Advertisement -