Refleksi peristiwa Israk dan Mikraj

- Advertisement -

PERISTIWA Israk menjadi bukti akan kepentingan kedudukan Masjid Al Aqsa di sisi umat Islam. Manakala Mikraj pula membawa pensyariatan ibadah Solat sebagai tali penghubung yang ampuh di antara hamba dan Sang Pencipta.

Palestin bukan sekadar pengkisahan zaman lampau sebagai bumi persinggahan para Nabi. Bahkan ia perlambangan geopolitik dunia yang sentiasa menjadi rebutan dan pergolakan sepanjang zaman. 

- Advertisement -

Umat Islam walau di mana pun kita berada, tidak boleh tidak mesti memahatkan Baitul Maqdis di dalam jiwa masing-masing. Mengambil tahu perihal umat Islam di sana, dan sentiasa berdoa supaya Allah memelihara mereka daripada kejahatan puak Zionis.

Kalimah solat dan pecahan wazannya diulang sebanyak 68 kali di dalam Al-Quran. Secara khusus, ia memaksudkan solat fardhu 5 waktu yang difardhukan ketika peristiwa Israk dan Mikraj. 

Solat Fardhu menjadi kayu ukur terpenting akan jati diri umat Islam. Kepatuhan tertinggi tetap akan dinilai melalui kualiti solatnya. Terdapat banyak ayat dan Hadis yang memberikan ancaman bagi mereka yang tidak solat, lalai dalam solat bahkan solat dengan tujuan yang tidak syar’ie.

Selain itu, kalimah solat juga mempunyai pengertian yang lain seumpama maksud doa, istighfar dan pengampunan.

Topik Al Quds perlu disegarkan sensasi sejarahnya dari generasi ke generasi, supaya ia mampu membangkitkan lagi Salahuddin Al Ayyubi di zaman ini. Begitu jugalah kesedaran penjagaan solat lima waktu perlukan didikan dan saranan sepanjang waktu.

Al Quds dan Solat Fardu, dua perihal yang saling bertaut. Kita mungkin tidak pernah sampai di bumi Palestin, tetapi kita sentiasa merasa dekat dengan mereka, sebagaimana kita sentiasa rasa Allah dekat dengan kita:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu, sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Al-Baqarah: 186)

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -