Banjir surut, Jabatan Amal mula ‘main lumpur’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seiring cuaca yang kembali cerah, Jabatan Amal Malaysia (Jabatan Amal) mula menggerakkan anggotanya bagi membantu proses pembersihan pasca banjiri di sebahagian kawasan di Terengganu.

Pegawai Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Wan Mohd Nasiruddin Wan Ahmad berkata, selepas dua hari banjir di kawasan , Jabatan Amal cawangan DUN terbabit mula bergerak membantu membersihkan rumah-rumah terjejas. 

- Advertisement -

“Di sini kita buka tiga pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan kira-kira 35 buah rumah berdaftar.

“Jadi, hari ini kita pecahkan kepada dua pasukan pembersihan, yang pertama di kampung ini dan kedua, di kawasan kampung Pulau Duyong dengan kekuatan 30 orang setiap kumpulan.

“Untuk hari ini, Jabatan Amal Cawangan DUN Bukit Tunggal berjaya membersihkan sembilan buah rumah dan satu surau,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kampung Seberang Tuan Chik, semalam.

Jelasnya, sekiranya kejadian air pasang besar tidak menyebabkan banjir lagi, proses pembersihan akan dapat disiapkan dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kita bergantung kepada keperluan. Kebanyakan penduduk masih tidak berani pulang ke rumah lagi kerana bimbang air kembali naik.

“Manakala, bagi penduduk yang sudah pulang kita akan turun membantu,” katanya.

Selain membersihkan rumah terjejas, hari ini pihaknya dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN di bawah ADUN, Dr Alias Razak turut mengadakan edaran ‘dapur rakyat’ bagi mangsa terlibat. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -