KYIV, Ukraine: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mendakwa tentera Rusia membedil bandar kedua terbesar di Ukraine, menggegarkan kawasan perumahan, dan menutup pintu masuk ke ibu negara, Kyiv menggunakan konvoi ratusan kereta kebal dan kenderaan lain sejauh 64 kilometer.
Zelenskyy bercakap dalam sidang video pada lewat Isnin (28 Feb) berkata, serangan yang dipertingkatkan itu bertujuan untuk memberikan tekanan kepada Ukraine bagi mencapai konsesi antara kedua-dua negara.
“Saya percaya Rusia cuba memberi tekanan (ke atas Ukraine) dengan kaedah mudah ini,” katanya.
Zelenskyy bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci mengenai rundingan selama lima jam antara Ukraine dan Rusia sebelum ini, tetapi berkata bahawa Kyiv belum bersedia untuk membuat sebarang konsesi.
Di tengah-tengah kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, Rusia dalam pada itu mengecam campur tangan Amerika Syarikat dan sekutunya dalam krisis di Ukraine itu sebagai suatu ‘empayar pembohongan’.
Sementara itu, Ukraine telah berusaha untuk mengukuhkan hubungannya dengan Barat dengan memohon untuk menyertai Kesatuan Eropah(EU) – satu langkah yang sebahagian besarnya simbolik buat masa ini, tetapi suatu tindakan yang tidak mungkin sesuai dengan ideologi Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang telah lama menuduh AS cuba menarik Ukraine keluar dari orbit Moscow. – AP