RANAU, Sabah: Pendaki dan malim gunung di Gunung Kinabalu di sini dikejutkan dengan salji yang turun seketika selama dua hingga tiga minit di sekitar puncak gunung itu pada pagi Isnin (28 Feb).
Seorang malim gunung bagi laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, berkata, pengalaman bersalji itu berlaku pada jam 7.18 pagi ketika dia menunggu pendaki di kawasan Sayat-Sayat di gunung itu.
“Ketika itu, saya berada di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat dan salji turun tepat dari puncak gunung (Kinabalu). Salji yang terbang ringan (sebahagian kepingan salji yang mencair) tidak seperti pelet ais berat,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh 11 tahun menjadi malim gunung di laluan Via Ferrata, beliau pernah menyaksikan fenomena serupa pada tahun 2018.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan video berkata, fenomena salji di Gunung Kinabalu yang mempuyai ketinggian mencecah 4,095 meter itu jarang tetapi berkemungkinan berlaku.
“Keadaan cuaca di bawah sifar atau apabila angin bertiup, boleh menyumbang kepada pembentukan salji, fenomena yang jarang kita lihat tetapi ia boleh berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu Justinus Guntabid pula berkata bahawa fenomena salji di Gunung Kinabalu pernah direkodkan pada 1975 dan 1993.
“Purata suhu di Laban Rata Panalaban (Panalaban Base Camp) yang terletak pada ketinggian 3,277 meter di Gunung Kinabalu pada jam 2 pagi hingga 10 pagi hari ini (28 Feb) adalah kira-kira 6.9 hingga 12.3 darjah Celsius.
“Nampaknya hari ini lebih sejuk daripada biasa dan mereka yang melihat salji (di Gunung Kinabalu) pada hari ini boleh dikira sangat bertuah,” katanya. – CNA