HUJAN di Negeri Kelantan seakan menepati kajian ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia apabila mulai beransur reda sejak semalam. Beberapa tempat yang dinaiki air beralih ke fasa pembersihan dan agihan bantuan.
Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan di bawah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan diamanahkan untuk mengetuai segerombolan pemuda membantu operasi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Kelantan dalam menyalurkan bantuan mengikut keperluan lokaliti.
Operasi menyelamat, agihan bantuan dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir sedang giat berlangsung di semua kawasan terlibat bersama pimpinan setempat, agensi kerajaan dan sukarelawan Khidmat Malaysia yang lain. Bantuan luar melalui Jabatan Amal negeri-negeri yang disusun ke Kelantan juga dijangka tiba pada hari Rabu.
Koordinasi Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan bagi membantu Khidmat Malaysia berdepan banjir dengan kekuatan tenaga 150 orang petugas dan sukarelawan dalam dan luar negeri. Semua petugas ini disusun bermula seawal bencana dengan bantuan penyelamat menggunakan bot Jabatan Amal sehinggalah tugas-tugas agihan bantuan makanan dan operasi pembersihan. Tidak terkecuali sukarelawan ini juga membantu projek Dapur Rakyat dipusat Operasi Banjir Amal.
Justeru, ketumbukan Pemuda PAS Negeri Kelantan dipecahkan kepada dua agenda serentak iaitu satu rombongan kecil ke PRN Johor bagi membantu Jentera Pilihan Raya DUN Pulai Sebatang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dan sekumpulan besar membantu operasi banjir di Negeri Kelantan di bawah Naib Ketua Pemuda merangkap Pengarah AMAL Negeri Kelantan. Kedua-dua agenda ini diamanahkan serentak bagi kelangsungan parti dan rakyat.
Melalui pembahagian secara pentadbiran ini, Insya-Allah segala susunan perancangan akan terus berjalan dengan sebaiknya. Demi kebaikan semua pihak, Dewan Pemuda PAS akan tetap utuh menjalankan tugasan yang diamanahkan. Di darat kitakan berlari dan di air kita pastikan berenang menuju destinasi.
Sekian, terima kasih.
MOHD FIRDAUS MOHAMED NAWI
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 1/3/2022
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10160125697968140&id=269683628139&sfnsn=mo