Israk Mikraj: Insafi perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hari ini merupakan tarikh bersejarah umat Islam dalam memperingati peristiwa agung Israk Mikraj yang mempunyai pelbagai ibrah kepada orang-orang yang beriman.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Israk Mikraj merupakan salah satu cara Allah SWT memujuk Nabi SAW setelah Baginda melalui tahun kesedihan.

“Rasulullah SAW menjadi tetamu istimewa Allah SWT,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Katanya, diturunkan perintah solat fardu secara langsung daripada Allah SWT tanpa melalui perantaraan.

Tambahnya, ini menunjukkan betapa utama dan istimewanya ibadah solat berbanding suruhan ibadah yang lain.

“Dalam masa yang sama, saya mengambil kesempatan ini untuk sama-sama kita menginsafi perjuangan pembebasan Masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam,” katanya lagi.

Ini, ujar beliau sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW riwayat Ahmad yang bermaksud: “Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan gagah perkasa menegakkan kebenaran daripada Allah. Mereka tidak boleh dilunturkan semangat oleh orang-orang yang mengecewakan mereka.”

Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?”
Baginda SAW menjawab, “Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan sekeliling Baitul Maqdis.”

Maka, ujarnya menjadi kewajipan buat umat Islam untuk tidak sesekali melupakan perjuangan Palestin serta wajib mempertahankannya dengan segala kemampuan yang ada.

Menurutnya lagi, sepanjang minggu ini, agensi hal ehwal Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan TV AlHijrah turut menganjurkan program sempena minggu Al-Quds. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -