Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Kedah mengambil inisiatif mengadakan Wellness On Wheel ke beberapa lokasi seluruh negeri itu untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mental.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah antara negeri yang mempunyai ramai penduduk mengidap diabetis (kencing manis).
“Oleh itu saya harap rakyat Kedah mengambil kesempatan ini untuk tampil membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya selepas merasmikan perhimpunan pagi di Wisma Darul Aman, semalam.
Pada perhimpunan tersebut turut dilancar Wellness On Wheel sempena Agenda Malaysia Sihat. Selain itu diisytiharkan hari Jumaat sebagai Hari Kebersihan seluruh Kedah.
Menurut Sanusi selain kesihatan tubuh badan, pemeriksaan mental juga perlu diberi perhatian terutama menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
“Kadang-kadang badan kelihatan sihat tetapi mental ‘tercedera’. Apabila kita membuat pemeriksaan, Jabatan Kesihatan akan mencadang langkah-langkah rawatan,” ujarnya.
Sanusi turut mengingatkan rakyat Kedah sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan, di samping menghindari makanan yang boleh mengakibatkan penyakit.
Menurutnya juga beliau meninggalkan amalan minuman manis sebagai usaha menjaga kesihatan.
“Sejak kecil kita dilatih manis itu sedap. Saya pun sudah berhenti minum minuman manis,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 28/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!