BEREGSURANY, Hungary: Lebih 400,000 warga Ukraine sudah melarikan diri ke Eropah selepas negara itu diserang Rusia pada Khamis (24 Feb) lalu.
Pada Ahad (27 Feb), hari keempat selepas serangan Rusia ke atas Ukraine itu, warga Ukraine dilihat beratur panjang sehingga beberapa kilometer untuk menyeberang ke Eropah bagi menyelamatkan diri dari perang berkenaan.
Kebanyakan warga Ukraine yang melarikan diri itu adalah dari kalangan wanita dan kanak-kanak, memandangkan golongan lelaki yang cukup umur dihalang keluar dari negara itu kerana kerana tenaga untuk ke medan perang melawan kemaraan tentera Rusia.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Dalam Negeri Kesatuan Eropah (EU), Ylva Johansson berkata, senario itu akan memerlukan EU untuk bersedia dengan kebanjiran berjuta-juta pelarian Ukraine yang tiba di Eropah.
Jerman telah memberi amaran dalam meletakkan halangan birokrasi, manakala Perancis berkata, negara-negara EU akan mempertimbangkan ‘dalam beberapa jam dan hari akan datang’ jika mereka perlu mengadakan program penempatan semula untuk warga Ukraine yang melarikan diri daripada krisis berkenaan.
Agensi pelarian PBB, memetik data yang disediakan oleh pihak berkuasa Ukraine, berkata pada Ahad, kira-kira 368,000 orang telah melarikan diri ke luar negara daripada pertempuran negara itu dengan tentera Rusia.
Kurang separuh telah melarikani ke Poland, yang mana di lintasan Medyka, 40,000 orang telah menyeberang dari Ukraine sejak Khamis (24 Feb) lalu, yang menyaksikan kira-kira beratus-ratus wanita, kanak-kanak dan remaja berdiri dalam barisan menunggu untuk diproses oleh pengawal sempadan Poland.
“Mesej saya ringkas: “Ini boleh berlaku kepada anda, di setiap rumah di Eropah. Ini kerana tiada siapa yang tahu apa yang (Vladimir) Putin (Presiden Rusia) mahu dan di mana dia akan selesai (dalam memerangi Ukraine,” ujar seorang pelarian Ukraine, Sofiia Kochmar-Tymoshenko selepas berjaya menyeberang ke Poland.
Di sebelah Ukraine, kelihatan barisan kereta dan bas sepanjang kira-kira 35 km ke bandar Sudova Vyshnya.
Dapur sementara menyediakan makanan panas disediakan di tepi-tepi jalan, dan sukarelawan mengedarkan makanan ringan di stesen minyak.
Sementara itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada daripada orang ramai yang masih di Ukraine merayu untuk bantuan makanan, wang, barangan kebersihan dan selimut.
“Kami juga menerima semakin banyak panggilan daripada orang ramai di negara-negara lain, yang mencari maklumat mengenai keluarga dan rakan-rakan mereka yang masih berada di Ukraine,” kata ICRC di Twitter.
Di Hungary, pihak berkuasa imigresen berkata, hanya 10 warga Ukraine telah memohon suaka di negara itu setakat ini, kerana majoriti besar orang yang datang adalah etnik Hungary atau sudah mempunyai hak untuk tinggal di negara itu. Tiga puluh lima orang telah memohon suaka di Slovakia.
Pihak berkuasa Romania pula berkata kira-kira separuh daripada mereka yang telah memasuki negara itu setakat ini, atau kira-kira 20,000 orang, telah pun berlepas ke tempat lain di Eropah.
Kerajaan Republik Czech dalam kenyataannya pula berkata, sebuah kereta api dengan bekalan bantuan ketenteraan untuk Ukraine telah tiba di Poland, sarat dengan mesingan, senapang penembak tepat, pistol dan peluru artileri
“Romania akan menghantar bahan api, peluru, jaket kalis peluru, topi keledar, peralatan ketenteraan, makanan dan air bernilai 3 juta euro (RM16 juta) ke Ukraine dan telah menawarkan untuk merawat mereka yang cedera di hospital tentera dan awam,” kata jurucakap kerajaan Romania, Dan Carbunaru pada Ahad (25 Feb).
Bercakap kepada pemberita di persimpangan sempadan Slovakia di Ubla, Presiden Zuzana Caputova memperbaharui gesaan kepada EU agar Ukraine diterima sebagai ahli.
“Apa yang Ukraine perjuangkan sekarang bukan hanya Ukraine dan integriti wilayahnya, tetapi ia adalah nilai demokrasi Eropah secara keseluruhan,” katanya. – AFP