BAGAN SERAI: Exco Kerajaan Negeri, Razman Zakaria komited membantu para pesawah di Daerah Kerian terutamanya dalam menangani isu kekurangan pengeluaran padi menerusi beberapa penyelesaian.
Beritahunya, masalah pengairan, infrastruktur dan prasarana pertanian berkaitan antara penyebab utama masalah itu selain ilmu, disiplin dan kekurangan selok belok pengetahuan yang berkaitan.
Menurut beliau, usaha itu bukan sahaja bagi meningkatkan pendapatan para pesawah, malahan satu usaha penting bagi meningkatkan bekalan dan keselamatan makanan dari sudut kebergantungan kepada negara luar.
Beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata demikian ketika berucap dalam majlis sumbangan kepada asnaf diadakan di Balai Raya Kampung Parit Haji Taib 1, di sini kelmarin.
Justeru itu, pihaknya akan terus berusaha mendapatkan peruntukan berkaitan infrastruktur dan prasarana pertanian bagi mengatasi permasalahan yang diutarakan oleh para pesawah setempat kepadanya.
Selain itu, beliau juga turut memaklumkan mengenai perancangan sebuah projek mega melibatkan penyaluran bekalan air dari Sungai Perak yang telahpun dibincangkan di peringkat kerajaan bagi tujuan sama.
“Kalau di Seberang Jaya, Pulau Pinang mereka memperoleh tujuh tan untuk sehektar (sawah). Di Sekinchan dia boleh sampai sembilan tan.
“Kita sini purata yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian boleh dapat hanya dua setengah hingga tiga tan untuk sehektar sawah sekali buat. Kenapa jadi macam ni?
“Yang pertamanya kerana air tak cukup. Air tak cukup satu bab, parit duduk di bawah satu bab. Lepas tu dia kata pula tanah di sini ada asid banyak. Kena buat pengapuran. Tanah pula tidak rata.
“Sebab tu Pak Teh cuba nak masuk (mohon peruntukan) supaya kita nak memulihkan balik untuk meningkatkan pendapatan petani. Yang pertama untuk pengairan. Kemudian nak menjayakan projek tarik air dari Sungai Perak bawa masuk ke kolam,” jelasnya.
Selain itu terangnya, antara punca kekurangan air untuk pertanian adalah disebabkan tujuan asal pembinaan kolam pada mulanya untuk pengairan pertanian, tetapi telah menjadi pelbagai kegunaan sehingga disalurkan untuk ternakan hiasan dan sektor perkilangan.
“Pasal kolam tu dulu orang putih buat untuk bendang saja. La ni (sekarang) mari zaman kita sudahlah nak buat tak reti, tapi duk pakai (guna) air (kolam) tu saja. Kelisa (pengusaha ikan hiasan) pun nak pakai air tu, minum pun pakai air tu, kilang di Taiping pun nak pakai air tu, sawah pun guna air tu jadi tak cukuplah,” tambahnya lanjut.
Pada program sumbangan berkala itu, 50 asnaf menerima sumbangan berupa beras dan barang makanan lain seperti sardin, susu, kordial dan lain-lain disampaikan beliau. – HARAKAHDAILY 27/2/2022