Minggu al-Quds Sedunia perkasa usaha pembebasan al-Aqsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Minggu al-Quds Sedunia adalah antara wadah terbaik untuk memugar kesedaran umat Islam terhadap isu al-Quds dan Palestin, serta menghidup dan memperkasakan usaha pembebasan Masjid al-Aqsa.

Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dato’ Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, hal ini bersesuaian dengan pemilihan minggu terakhir bulan Rejab yang bersempena dengan peristiwa Israk dan Mikraj di samping peristiwa pembebasan Masjid al-Aqsa oleh Salahuddin al-Ayyubi.

Menurutnya, PUM telah terlibat dengan penganjuran Minggu al-Quds Sedunia sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1442H/2021M, di mana PUM adalah antara pertubuhan ulama’ dunia yang terlibat sama dalam mencetuskan idea penganjurannya.

- Advertisement -

Katanya, Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat umat Islam yang pertama masih berada dalam tawanan kuasa zionis semenjak negara haram Israel tertubuh di tanah Palestin pada tahun 1948 sehinggalah ke hari ini.

“Sungguhpun kuasa pentadbiran Masjid al-Aqsa adalah terletak di bawah penjagaan negara Jordan, namun kuasa zalim rejim zionis ini tidak menghiraukan perkara tersebut,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Bahkan, ujar beliau mereka memperlakukan Masjid al-Aqsa dan umat Islam yang ingin beribadat di situ sesuka hati tanpa mengambil kira undang-undang, perjanjian yang telah termeterai dan nilai kemanusiaan sejagat.

Justeru, katanya bersempena dengan Minggu al-Quds Sedunia pada tahun ini, PUM mengajak umat Islam di Malaysia untuk memanfaatkan kegiatan dan acara yang dianjurkan oleh semua pihak sepanjang minggu ini, sama ada dianjurkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang lain.

Tambahnya, PUM percaya penglibatan umat Islam di Malaysia dalam Minggu al-Quds Sedunia boleh membantu mereka mempertingkatkan kesedaran tentang isu al-Quds dan Palestin, seterusnya membolehkan mereka lebih bersemangat untuk terlibat dalam usaha pembebasan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman pemerintah haram zionis dan konco-konconya.

Tambahnya, PUM berpandangan, pembebasan Masjid al-Aqsa tidak hanya tertumpu kepada satu bentuk usaha tertentu tetapi memerlukan kepada pelbagai usaha yang saling sempurna dan menyempurnakan.

“Kerja pembebasan yang besar ini memerlukan kepada usaha keilmuan dan kesedaran, juga perlu kepada usaha solidariti dan kebersamaan,” katanya lagi.

Beliau berkata, ia juga perlu kepada usaha pengumpulan dana dan penyampaian bantuan, di samping ia juga mungkin sampai ke tahap gerakan yang lebih besar.

Oleh itu, kata beliau umat Islam di Malaysia hendaklah memilih bentuk usaha yang sesuai dengan diri masing-masing.

Menurutnya lagi, apa yang penting semua tidak ketinggalan dalam usaha ke arah pembebasan Masjid al-Aqsa yang pasti akan dibantu oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 27/2/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -