Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di luar negara yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bakal menjadi lembaran baharu bagi mengangkat semula bahasa tersebut sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dato’ Seri Dr Awang Sariyan berkata, pengumuman itu amat dialu-alukan dan dihargai oleh pejuang dan pencinta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurut beliau, daripada sudut sejarah, bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa diplomasi ratusan tahun dahulu.
“Wujudnya warkah dan perjanjian antara kerajaan-kerajaan Melayu dengan kuasa asing seperti Portugal, Sepanyol, Belanda dan Inggeris di pelbagai perpustakaan di seluruh dunia menjadi buktinya.
“Sarjana Belanda seperti Van Linschoten dan Francis Valentijn menyamakan taraf dan peranan bahasa Melayu dengan bahasa Latin dan Perancis di Eropah pada abad yang sama, iaitu abad 16 Masihi.
“Pernyataan Ismail Sabri di Bangkok itu membuka lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, apa yang diumumkan perdana menteri perlu dijadikan sumber iltizam semua penjawat awam yang berurusan di luar negara dan penjawat awam dalam negara yang berurusan dengan pihak antarabangsa supaya menggunakan bahasa Melayu, dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.
Bahkan katanya, usaha pemerkasaan bahasa Melayu dalam pentadbiran negara juga telah dilaksanakan sekian lama.
“Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Pekeliling Perkhimatan Bilangan 9 tahun 2011 bertajuk ‘Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam’ telah menyebut galakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat di peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.
“Untuk perjanjian peringkat antarabangsa pula, bahasa Inggeris digunakan dan terjemahannya dalam bahasa Melayu dibuat untuk rekod dan semakan.
“Perkara yang sama dikeluarkan semula dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 tahun 2020 dengan tajuk ‘Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap pengumuman Ismail Sabri mengenai perkara itu mampu merealisasikan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN.
“Dewan Bahasa dan Pustaka dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) telah mengusulkannya sejak tahun 2000.
“Selain mempunyai penutur sekitar 300 juta orang di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan di sebahagian Thailand dan Kampuchea, bahasa Melayu difahami juga di negara ASEAN yang lain,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata Malaysia menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
Beliau telah menggunakan bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand. – HARAKAHDAILY 27/2/2022