Presiden Zelenskyy: Kami sendirian pertahankan Ukraine

- Advertisement -

KYIV: Presiden Volodymyr Zelenskyy, mengkritik negara Barat kerana tidak datang membantu Ukraine dengan mengatakan negaranya ditinggalkan sendirian menghadapi pencerobohan tentera Rusia.

“Siapa yang sedia berjuang bersama kami? Saya tidak nampak sesiapa pun. Siapa yang sedia memberi jaminan kepada Ukraine untuk menjadi ahli NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara)? Semua takut.”

- Advertisement -

Siri letupan sebelum subuh di ibu negara Ukraine, Kyiv, mencetuskan pertempuran hari kedua dan seterusnya selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin, tidak mempedulikan amaran Barat untuk melancarkan pencerobohan berskala penuh Khamis lalu.

Serangan itu meragut nyawa ratusan penduduk Ukraine dan menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Amerika Syarikat (AS) dan sekutu bertindak balas dengan mengenakan pelbagai sekatan, tetapi tentera Rusia kelihatan mempunyai kelebihan di medan peperangan selepas rentetan kemenangan strategik dalam serangan udara dan darat.

“Kami sendirian mempertahankan negara. Pasukan tentera paling berkuasa di dunia hanya memerhati dari jauh,” kata Zelenskyy, sambil menyatakan bahawa pelbagai sekatan yang dikenakan tidak mencukupi.

Katanya: “Adakah sekatan semalam mengagumkan Rusia? Kami dengar dalam langit di atas kami dan di bumi kami, sekatan itu tidak mencukupi.”

Zelenskyy berkata, seramai 137 orang awam dan anggota tentera terbunuh,, manakala 316 cedera di Ukraine pada hari pertama pencerobohan Rusia.

“Ketika mempertahankan Pulau Zmiinyi, semua pengawal sempadan kami mati sebagai hero. Mereka tidak menyerah diri. Mereka semua akan menerima anugerah Wira Ukraine. Mereka yang mengorbankan nyawa untuk Ukraine akan dikenang selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan Rusia membunuh penduduk tidak bersalah dan menjadikan bandar yang aman sebagai sasaran tentera tidak akan dimaafkan.

Zelenskyy juga mengisytiharkan masih berada di Ukraine walaupun Rusia mahu `memusnahkan’ Ukraine secara politik dengan menjatuhkan ketua negara.

“Saya tinggal di kuaters kerajaan bersama orang lain. Musuh menjadikan saya sebagai sasaran nombor satu, dan keluarga saya sebagai sasaran nombor dua,” katanya. – ALJAZEERA

- Advertisement -