M FAQIH
SEBELUM ini Umno mengumumkan mahu bertanding 42 kerusi Dun di Johor. Namun, kelmarin isytihar bertanding 37 kerusi. Manakala MCA dan MIC masing-masing mengekalkan 15 dan empat kerusi.
Ketika majlis pengisytiharan calon BN, kelibat pemimpin MCA tidak nampak. Khabarnya MCA tidak puas hati isu pembahagian kerusi.
Umno membolot dua kerusi yang pernah ditandingi MCA sebelum ini. Kerusi terbabit iaitu Dun Parit Yaani dan Pulai Sebatang.
Biarpun Ketua Umno Johor Ir Hasni Muhammad menafikan ada retak hubungan BN, namun ia tidak mampu disembunyikan lagi.
Majlis pengumuman calon BN turut dihadiri bekas perdana menteri Najib Tun Razak. Sedangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, Umno ditolak rakyat kerana isu kaitan dengan Najib. 1MDB geger ke serata alam.
Biarpun terpalit dengan isu dan skandal, Najib masih muncul. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan lebih 700,000 undi18 dan pengundi baru muncul.
Pengundi muda sangat ambil cakna isu rasuah. Mereka tidak ghairah lagi dengan Bossku. Mungkinkah Umno silap strategi pada percaturan kali ini.
Apa pun PRN Johor menyaksikan pertembungan tiga gabungan utama. BN berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Manakala Pejuang bertanding bersendirian di 42 kerusi.
PRN Johor juga meriah dengan kehadiran parti baru. Parti Bangsa Malaysia (PBM). Parti itu bertanding di Puteri Wangsa, Tiram, Stulang dan Maharani. PBM sebelum ini isytihar mesra BN.
Parti Sosialis Malaysia turut mencuba nasib di satu kerusi. Pengundi Cina yang berlonggok menyokong PH pada PRU lepas, juga boleh menjadi penentu.
Namun, sokongan 95 peratus pengundi Cina terhadap PH mungkin terurai kali ini. Sebahagian pengundi terbabit akan berarah kepada Gerakan dan MCA.
Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari berkata Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, Bersatu semakin bergantung kepada PAS sebagai parti komponen terkuat PN.
Katanya, PAS ada pangkalan kuasa yang stabil di utara dan timur Semenanjung Malaysia.
“Bersatu boleh beransur-ansur akan kehilangan ‘kuasa naungan’ sekiranya pengaruhnya dalam kerajaan negeri dan Persekutuan berkurangan,” katanya.
Malah kata beliau PAS boleh menjadi parti kanan dalam PN bagi memberi imej serantau dan bukannya lagi sekadar nasional.
Berdasar perkembangan sehari dua ini, nampaknya BN dan PH dilanda masalah. Pengerusi PH Anwar Ibrahim seperti hilang wibawa apabila PKR memilih logo sendiri.
Sedangkan, kerabatnya DAP dan Amanah masih mencuba nasib menggunakan lambang PH. Anwar kelihatan mahu melakukan perubahan drastik selepas ditimpa nasib malang di Melaka dan Sarawak tahun lepas.
PKR juga menjadi seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Di Sarawak PH hanya menang dua daripada 82 kerusi Dun yang ditandingi.
PH melalui DAP hanya menang di Dun Padungan dan Pending. Sedangkan pada PRN Sarawak ke-11 (2016), DAP menang tujuh kerusi, manakala PKR kuasai tiga kerusi.
Pada PRN tersebut PH bertarung di 62 kerusi. DAP bertanding 26 kerusi, PKR (28) dan Amanah (8). Namun, pada PRN terbabit PKR dan Amanah kalah semua kerusi ditandingi.
Sebelum itu PH bernasib malang pada PRN Melaka apabila hanya menang 5 kerusi. Sedangkan pada PRU14 PH menguasai 15 kerusi. BN pula melonjak kepada 21 kerusi berbanding 13 kerusi pada PRU14.
Ketika itu PN belum wujud lagi. Namun pada cabaran pertama di PRN Melaka PN menang 2 kerusi melalui Bersatu.
Dan kali ini PAS membawa cabaran di 15 kerusi Dun Johor. Di Dun Sri Medan Halim Othman Kepol (PAS) berdepan Zulkurnain Kamisan (Umno), PKR dan Pejuang.
Di Tenggaroh Roslan Nikmat (PAS) berdepan Raven Kumar (MIC), PKR dan Pejuang. Di Tanjung Surat Selamat Ujud (PAS) lawan Syed Sees Abd Rahman (Umno), PKR dan Pejuang.
Di Serom Rahmat Daud (PAS) berdepan Khairin Nisa (Umno), Amanah dan Pejuang. Di Machap Azlisham Azahar (PAS) lawan Onn Hafiz (Umno), PKR dan Pejuang.
Di Bukit Pasir Muhd Nur Iqbal Abd Razak (PAS), Ir Mohd Fadzli Mohd Salleh (Umno), Amanah dan Pejuang. Di Senggarang Khairul Faizi Ahmad Kamil (PAS) berdepan Mohd Yusla (Umno), Amanah dan Pejuang.
Dun Maharani Abd Aziz Talib (PAS) berdepan Nur Fara Samsudin (Umno), Amanah dan Pejuang. Dun Pulai Sebatang Abdullah Husin (PAS) lawan Hasrunizah Hassan (Umno), Amanah dan Pejuang.
Parit Yaani Ahmad Nawfal Mahfodz (PAS) berdepan Mohd Najib Samuri (Umno), Amanah dan Pejuang. Dun Tiram Dr Karim Deraman (PAS) bertembung Azizul Bachok (Umno), PKR dan Pejuang.
Kemelah – Normala Sudirman (PAS) berdepan MIC, Amanah dan Pejuang.
Simpang Jeram – Zarul Salleh (PAS) lawan Lokman Md Don (Umno), Amanah dan Pejuang.
Paloh – V Selvendran (PAS) lawan MCA, DAP da Pejuang. Jementah – Maimunah Safwah Musa (PAS) berdepan MCA dan DAP.
Kesemua 15 Dun terbabit menyaksikan pertembungan merebut pengundi Melayu dengan komposisi 40.28 peratus ke atas. Sekiranya diambil kira petunjuk PRN Melaka dan Sarawak, pertembungan sengit antara tiga pakatan iaitu BN, PN dan PH.
Pejuang tentunya berdepan risiko. Namun, berdasar gerak kerja kempen sehingga sekarang nampaknya parti Abah semakin mendapat tempat. – HARAKAHDAILY 26/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!