Oleh NOR HAZWANI NOH
JOHOR BAHRU: Setiausaha PAS Kawasan Sekijang, Normala Sudirman berharap Perikatan Nasional akan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau optimis berlaku anjakan paradigma atau lonjakan undi yang memberikan laluan kemenangan kepada calon Perikatan Nasional.
“Saya harap N.04 akan dimenangi oleh calon Perikatan Nasional dan ini merupakan kali keempat saya bertanding dalam pilihan raya,” ujarnya yang merupakan calon Perikatan Nasional bagi DUN berkenaan.
Katanya, kali pertama beliau bertanding ialah pada Pilihan Raya Kecil Tenang dan kali keempat bertanding dalam pilihan raya umum DUN.
“Semoga Allah takdirkan kemenangan di DUN Kemelah,” katanya ketika ditemui selepas majlis taklimat kepada semua calon Perikatan Nasional daripada PAS untuk PRN kali ini yang diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Johor di sini, semalam.
Menurutnya, ramai yang mengatakan bahawa kebarangkalian laluan itu agak mudah kerana majoriti pengundi di DUN Kemelah itu adalah Melayu.
“Tentulah harapnya mengundi wakil Melayu Islam untuk menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Johor, insya-Allah,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Mala.
Beliau mengharapkan para pengundi di DUN Kemelah dapat keluar mengundi sama ada undi pos, mengundi awal atau hari mengundi pada 12 Mac ini.
Ini, ujarnya kerana itulah satu-satunya platform untuk rakyat menentukan hala tuju kepimpinan yang akan mentadbir negeri Johor.
Normala juga berkata, pastinya ramai Melayu Islam sepatutnya mengimpikan suara wakil rakyat daripada golongan wanita atau kaum hawa untuk mengangkat martabat atau memperjuangkan kebajikan mereka khususnya di DUN Johor.
“Jadi sudah pastilah kita mengharapkan agar calon di Kemelah ini yang majoritinya adalah pengundi wanita lebih ramai daripada pengundi Melayu lelaki mampu membuat pilihan yang terbaik.
“Saya optimis bahawa insya-Allah berlaku anjakan paradigma ataupun satu lonjakan undi yang memberikan laluan mudah kepada calon Perikatan Nasional berdasarkan prestasi kepemimpinan negara yang ada sekarang dan ditambah laluan beberapa penjuru yang insya-Allah berpihak kepada Perikatan Nasional,” ujarnya. 26/2/2022