239 calon layak bertanding PRN Johor

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Seramai 239 calon layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata selain itu, tiada pencalonan yang ditolak selepas proses penamaan calon.

- Advertisement -

“Daripada 239 calon layak bertanding, 202 adalah lelaki dan 37 lagi adalah wanita,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, selepas selesai proses penamaan calon hari ini.

Terdapat kira-kira 2.5 juta pemilih berdaftar pada PRN Johor yang melibatkan pertandingan di 56 kerusi.

Beliau berkata calon tertua pada pilihan raya itu berusia 71 tahun iaitu daripada Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai manakala calon termuda berumur 26 tahun di DUN Mengkibol yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan DUN Tangkak daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Abdul Ghani berkata terdapat lapan calon berusia bawah 30 tahun bertanding pada PRN kali ini.

Seramai 52 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 72 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 64 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun manakala 43 calon berusia 60 tahun ke atas.

Daripada keseluruhan 239 calon, 56 masing-masing adalah calon BN dan PN, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (7), Parti Warisan (6), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4), dan masing-masing satu mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon oleh pegawai pengurus hingga 11.59 malam 11 Mac.

Sementara itu, SPR dalam kenyataan memaklumkan ia telah menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

SPR turut memaklumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor telah diluluskan akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya iaitu proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Maklumat lanjut mengenai SOP berkenaan boleh diperoleh di portal spr.gov.my. – BERNAMA

- Advertisement -