Tentera Rusia mara ke ibu negara Ukraine

Ibu negara Ukraine, Kyiv, dihujani peluru berpandu pada hari kedua serangan Rusia
- Advertisement -

KYIV: Letupan dan tembakan meletus di kawasan utara bandar ini, ketika tentera Rusia dilaporkan menutup laluan menuju ke ibu negara Ukraine.

Pejalan kaki berlari untuk menyelamatkan diri dan bunyi tembakan senjata kecil kedengaran di kawasan Obolonsky, manakala letupan lebih kuat boleh didengari hingga pusat bandar ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Hanna Malyar, memberi amaran bahawa tentera negaranya sudah bersiap sedia untuk mempertahankan kedudukan di empat barisan hadapan walaupun mengakui bilangan tentera Rusia jauh lebih banyak.

Sementara itu, pihak berkuasa tentera berkata, tentera udara Ukraine sedang memerangi tentera Rusia di barat laut bandar ini.

Tentera Rusia dilaporkan memasuki bandar Sumy berhampiran sempadan Rusia yang terletak di lebuh raya menuju Kyiv dari arah timur.

Gabenor wilayah, Dmytro Zhivitsky, berkata sebuah lagi bandar timur laut, Konotop, turut dikepung dan menggesa penduduk wilayah itu menentang tentera Rusia.

Beberapa letupan kedengaran di ibu negara Ukraine

Pada hari kedua serangan Rusia, Kyiv digegarkan oleh siri letupan yang kedengaran seawal jam 4.20 pagi waktu tempatan hari ini.

“Serangan peluru berpandu ke atas Kyiv disambung semula. Saya dengar dua letupan kuat,” kata Penasihat Kementerian Dalam Negeri Ukraine, Anton Herashchenko.

Bunyi siren juga kedengaran di seluruh bandar ini untuk memberi amaran kepada penduduk supaya mencari perlindungan daripada serangan Rusia yang telah lama digeruni.

Ketika sebahagian penduduk meninggalkan bandar ini, masih ramai penduduk yang tidak mempunyai pilihan lain, berlindung di stesen kereta api bawah tanah dan ruang bawah tanah.

Britain dakwa Rusia mahu tawan seluruh Ukraine

Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace, mendakwa Rusia berhasrat menawan seluruh Ukraine pada hari pertama, tetapi tentera negara itu gagal melakukannya.

“Sudah tentu, pandangan kami bahawa Rusia berhasrat menyerang seluruh Ukraine,” katanya.

Beliau berkata, Britain mahu menghentikan Rusia dari sistem pembayaran antara bank global SWIFT yang membolehkan Rusia memindahkan wang ke seluruh dunia untuk menerima bayaran bagi penjualan gas. – TRTWorld

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!