Susunan YUSMAN AWANG
Rusia mengecam rancangan pertambahan penempatan Israel di Bukit Golan yang merupakan kawasan 800 kilometer persegi menempatkan sempadan Israel dan Syria.
Wilayah tersebut yang ditakluki sebahagian besar oleh Israel sebenarnya adalah zon berdaulat Syria sehingga Jun 1967, apabila Israel melancarkan Perang Enam Hari yang dengan kejam merampas kawasan tersebut.
Rusia yang ketika ini sedang menyerang Ukraine secara besar-besaran dari udara, lautan dan daratan bermula Khamis (24 Feb) dikaitkan dengan ketidakselesaan negara itu terhadap kepimpinan Ukraine, Presiden Volodymyr Zelenskyy yang berketurunan Yahudi.
Menurut laporan media Barat, tentera Rusia semakin bergerak lebih jauh ke dalam Ukraine. Dikatakan serangan itu sudah meragut puluhan nyawa dan meningkatkan peluang kemungkinan Moscow mara ke Kyiv.
Ledakan peluru berpandu Rusia yang disasarkan di beberapa bandar Ukraine berlaku sepanjang hari dan dikatakan memaksa orang awam menyelamatkan diri di stesen kereta api bawah tanah, manakala sebahagian penduduk dilaporkan kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara itu.
Laporan terkini AFP menyebut Zelenskyy pada Jumaat (25 Feb) mendakwa, sekurang-kurangnya 137 warga Ukraine yang disifatkan beliau sebagai ‘hero’ maut manakala 316 yang lain tercedera dalam tempoh 24 jam selepas Ukraine diserang Rusia.
Tentera Rusia dilaporkan turut merampas lapangan terbang strategik utama berhampiran Kyiv serta lokasi bencana nuklear Chernobyl yang masih tercemar dengan bahan radioaktif.
Justeru, tidak menghairankan apabila Rusia bertindak mengalih perhatian dunia daripada serangannya terhadap Ukraine ketika ini dengan mengumumkan pandangan terbaharunya pada Khamis (24 Feb) mengenai Israel yang merupakan negara musuh kepada banyak negara-negara Islam itu, khususnya Palestine.
Moscow menyampaikan ‘misi’nya tentang Israel yang secara tidak langsung menggambarkan kenapa negara itu menyerang Ukraine, dalam tweetnya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tertulis: “Kami bimbang dengan rancangan baharu Tel Aviv yang diumumkan untuk memperluaskan aktiviti penempatan di #GolanHeights yang diduduki, yang bercanggah dengan peruntukan Konvensyen Geneva 1949.
“Rusia tidak mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang merupakan sebahagian daripada #Syria.”
Israel merampas Bukit Golan daripada Syria pada 1967 dan menguasai wilayah itu pada 1981, dalam satu langkah yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Resolusi oleh Majlis Keselamatan PBB, di mana Rusia merupakan anggota tetap, menyatakan:
“Keputusan Israel untuk mengenakan undang-undang, bidang kuasa dan pentadbirannya di Bukit Golan yang diduduki adalah terbatal dan tidak sah dan tanpa kesan undang-undang antarabangsa.”
Pada akhir tahun lalu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengumumkan rancangan untuk menggandakan bilangan penempatan di wilayah itu.
Pembunuhan beramai-ramai ala Nazi
Berdasarkan hubungan ‘meruncing’ Rusia-Israel itu, adalah jawapan di sebalik kenapa sejurus sebelum menyerang Ukraine, Presiden Rusia,Vladimir Putin mendedahkan bahawa negara itu tidak berasa ‘selamat, berkembang dan wujud’ disebabkan apa yang disifatkannya sebagai ancaman daripada pemodenan Ukraine di bawah pemerintahan Zelenskyy.
Beliau mendakwa matlamatnya adalah untuk melindungi warga asal Ukraine yang disifatkannya menjadi mangsa ‘pembunuhan beramai-ramai’ di bawah kuasa Zelensky seumpama Nazi yang bagaimanapun dinafikan Zelensky.
“Tidak ada pembunuhan beramai-ramai di Ukraine. Ia adalah sebuah demokrasi yang yang dipimpin oleh seorang presiden Yahudi. Bagaimana saya boleh menjadi Nazi Jerman?” tegas Zelenskyy, yang sebaliknya menyamakan serangan Rusia dengan pencerobohan Nazi dalam Perang Dunia Kedua.
Putin sebelum ini sering menuduh Ukraine yang kini mempunyai populasi mencecah 44 juta itu diambil alih oleh pelampau, sejak presidennya terdahulu yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych, digulingkan pada 2014 selepas protes berbulan-bulan menentang pemerintahannya.
Rusia kemudian bertindak balas dengan merampas wilayah selatan Crimea dan mencetuskan pemberontakan di timur, menyokong pemisah yang telah memerangi tentera Ukraine dalam perang yang telah meragut 14,000 nyawa.
Pada lewat 2021,Putin mula mengerahkan sejumlah besar tentera Rusia ‘berkampung’ di sekitar berhampiran sempadan Ukraine. Kemudian pada minggu ini, beliau membatalkan perjanjian damai 2015 untuk timur dan mengiktiraf dua kawasan di bawah kawalan pemberontak Ukraine sebagai zon bebas.
Rusia telah lama menentang langkah Ukraine ke arah Kesatuan Eropah (EU) dan pakatan tentera pertahanan Barat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
NATO merupakan merupakan perikatan ketenteraan antara antara 28 negara Eropah dan 2 negara Amerika Utara yang mana organisasi ini melaksanakan Perjanjian Atlantik Utara yang ditandatangani pada 4 April 1949.
NATO menggunakan sistem keselamatan kolektif, yang mana negara-negara anggotanya bersetuju untuk saling mempertahankan kedaulatan negara masing-masing sebagai tindak balas terhadap serangan oleh mana-mana pihak luar.
Ibu pejabat NATO terletak di Haren, Brussels, Belgium, sementara markas Operasi Komando Bersekutu terletak berhampiran Mons, Belgium.
Sejak penubuhannya, kemasukan negara-negara anggota baharu telah meningkatkan pakatan daripada 12 negara asal menjadi 30.
Negara anggota terbaharu yang telah menyertai NATO ialah Macedonia Utara pada 27 Mac 2020. NATO yang sebelum ini mengiktiraf Bosnia dan Herzegovina, Georgia, dan Ukraine yang disifatkan sebagai negara-negara yang bercita-cita tinggi untuk menyertai NATO.
Sebelum disertai Macedonia Utara, barisan anggota NATO terdiri daripada AS, United Kingdpm, Belanda,Belgium, Perancis, Kanada, Itali, Denmark, Norway, Luxembourg, Portugal (sejak 4 April 1949), Greece (bermula 18 Februari 1952), Turki (sejak 9 Mei 1952), Sepanyol (sejak 30 Mei 1982), Hunggary, Poland dan Republik Czech (pada 12 Mac 1999); Romania, Lithuania, Latvia, Estonia, Bulgaria, Slovakia dan Slovenia (bermula 29 Mac 2004); Albania dan Croatia (sejak 1 April 2009); dan Montenegro (bermula 5 Jun 2017).
Ketika mengumumkan serangan Rusia terhadap Ukraine, Putin menuduh NATO mengancam ‘masa depan bersejarah Rusia sebagai sebuah negara’.
Bimbang dengan kemungkinan Ukraine sedang mencari garis masa yang jelas untuk menyertai NATO, Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov sebelum ini pernah menegaskan bahawa adalah wajib bagi Rusia untuk memastikan Ukraine tidak akan pernah menjadi ahli NATO.
Tahun lalu, Putin menulis artikel panjang yang menggambarkan Rusia dan Ukraine sebagai ‘satu negara’, dan beliau telah menyifatkan kejatuhan Kesatuan Soviet pada Disember 1991 sebagai ‘perpecahan sejarah Rusia’.
Beliau ketika itu mendakwa Ukraine moden dicipta sepenuhnya oleh komunis Rusia dan kini menjadi negara boneka yang dikawal oleh Barat ‘bertopengkan’ NATO.
Putin juga berhujah bahawa jika Ukraine menyertai NATO, pakatan itu mungkin cuba menawan semula Crimea yang sudah mengancam Rusia.
Tindakbalas NATO
Apa yang boleh dilakukan Barat? Ketua NATO, Jens Stoltenberg pada Jumaat (25 Feb) memaklumkan perikatan tersebut tidak berhasrat untuk menghantar pasukan tentera mereka ke Ukraine selepas negara itu diserang Rusia sejak semalam itu.
“Setakat ini, tiada pasukan tempur NATO di Kiev,” ujarnya selepas mesyuarat tergempar bersama-sama wakil perikatan tersebut.
Menurutnya, NATO hanya akan memulakan ‘pelan pertahanan’ bagi memperkukuhkan keselamatan di Eropah Timur walaupun tindakan itu dijangka mengeruhkan lagi krisis tersebut.
Terdahulu, NATO telah meletakkan pesawat perang dalam keadaan berjaga-jaga tetapi pakatan Barat telah menjelaskan bahawa tidak ada rancangan untuk menghantar tentera tempur ke Ukraine sendiri.
Sebaliknya mereka telah menawarkan penasihat, senjata dan hospital lapangan. Sementara itu, 5,000 tentera NATO telah ditempatkan di negara-negara Baltik dan Poland. 4,000 lagi boleh dihantar ke Romania, Bulgaria, Hungary dan Slovakia.
Sebaliknya, Barat menyasarkan ekonomi, industri dan golongan individu di Rusia. EU telah berjanji untuk menyekat akses Rusia kepada pasaran modal dan memotong industrinya daripada teknologi terkini. Ia telah pun mengenakan sekatan ke atas 351 Ahli Parlimen yang menyokong pengiktirafan Rusia terhadap wilayah yang dikuasai pemberontak.
Jerman pula telah menghentikan kelulusan saluran paip gas Nord Stream 2 Rusia, pelaburan utama yang membabitkan kerjasama dua hala syarikat Rusia dan Eropah
AS dalam pada itu berkata, ia akan memotong peruntukan untuk kerajaan Rusia daripada institusi kewangan Barat dan menyasarkan khusus terhadap golongan elit berpangkat tinggi di negara itu.
United Kingdom pula mengumumkan, semua bank utama Rusia akan dibekukan aset mereka, dengan 100 individu dan entiti disasarkan; dan syarikat penerbangan nasional Rusia Aeroflot juga akan dilarang mendarat di UK.
Korea Selatan juga semalam mengumumkan bakal menyertai negara-negara lain untuk mengadakan sekatan ekonomi terhadap Rusia.
Ukraine sebelum ini telah menggesa sekutunya untuk berhenti membeli minyak dan gas Rusia. Tiga negara Baltik telah menyeru seluruh masyarakat antarabangsa untuk memutuskan sistem perbankan Rusia daripada sistem perbankan SWIFT antarabangsa. Ia dikhuatiri boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi AS dan Eropah.
Sehubungan itu, kota St Petersburg di Rusia tidak lagi boleh menjadi tuan rumah perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2022 yang dijadualkan berlangsung 28 Mei depan atas sebab keselamatan.
Sementara Badan induk bola sepak Eropah, Persekutuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang mengutuk keras serangan Rusia terhadap Ukraine akhirnya memilih kota Paris di Perancis bagi menggantikan Rusia sebagai tuan rumah perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2022.
Namun, apa yang agak ‘melucukan’ ialah komen berlawanan susulan serangan Rusia terhadap Ukraine antara Presiden Joe Biden dan bekas Presiden ‘negara Uncle Sam’ itu, Donald Trump.
Jika Biden mengutuk sekeras-kerasnya dan menegaskan dunia akan menyalahkan Rusia atas tindakannya menyerang Ukraine,Trump pula sebaliknya menggambarkan serangan yang diketuai Putin itu sebagai ‘genius’, ‘pintar’ dan ‘cerdas’. – HARAKAHDAILY 25/2/2022