Rusia hilang hak anjur perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2022

- Advertisement -

NYON (SWITZERLAND): Perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2022 akan berlangsung di Paris selepas hak Rusia sebagai tuan rumah dilucutkan berikutan tindakan negara itu menceroboh Ukraine.

Perlawanan akhir pertandingan kelab bola sepak paling berprestij di Eropah, dijadualkan berlangsung di St Petersburg pada 28 Mei.

- Advertisement -

Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat luar biasa Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) di sini, hari ini yang mengesahkan perlawanan akhir tidak akan diadakan di Arena Gazprom.

Sebaliknya, badan induk bola sepak Eropah memutuskan perlawanan dipindahkan ke Stade de France, Paris.

UEFA mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang memberi sokongan peribadi dan komitmen bagi membolehkan perlawanan paling berprestij kelab Eropah dipindahkan ke Perancis ketika krisis di timur Eropah.

Ini adalah tahun ketiga, gelanggang perlawanan akhir Liga Juara-Juara dipindahkan. Pada 2020, gelanggang dipindahkan dari Istanbul ke Lisbon kerana wabak Covid-19.

Istanbul kemudian ditetapkan menjadi tuan rumah perlawanan akhir pada 2021, tetapi kerana alasan yang sama sekali lagi dipindahkan ke Portugal, iaitu di Porto.

Stade de France menjadi gelanggang baharu perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2022

Mesyuarat UEFA juga mengarahkan kelab dan pasukan kebangsaan Rusia dan Ukraine, bermain perlawanan tempat sendiri di luar wilayah kedua-dua negara.

Spartak Moscow adalah satu-satunya pasukan Rusia yang masih beraksi dalam pertandingan kelab Eropah musim ini, setelah mara ke pusingan 16 terakhir Liga Europa.

Mengikut UEFA, Spartak bersama pasukan kebangsaan Rusia dan Ukraine perlu bermain perlawanan tempat sendiri di gelanggang berkecuali sehingga diberitahu kelak.

Rusia dan Ukraine, masing-masing dijadualkan bermain perlawanan `play-off’ Piala Dunia 2022 pada Mac ini, dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyatakan badan induk dunia memantau keadaan di rantau bergolak itu.

Rusia akan menjadi tuan rumah menentang Poland di Moscow pada 24 Mac, manakala Ukraine bertandang ke Scotland pada hari yang sama. – BBC FOOTBALL