Oleh SYAHIRAH SALLEH
JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional daripada PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah pilihan parti dan diberi kepercayaan yang tinggi.
Sehubungan itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Dato’ Ahmad Yahaya mengucapkan tahniah kepada mereka.
“Calon-calon ini adalah pilihan dari parti, jadi tidak mewakili diri, tetapi mewakili parti.
“Jadi, ini satu kepercayaan yang tinggilah. Jadi, daripada Dewan Ulamak, mengambil kesempatan, kita ucap tahniah kepada calon-calon yang terpilih,” ujarnya selepas menyampaikan watikah kepada semua calon daripada PAS pada majlis yang diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Johor, di sini hari ini.
Menurutnya, calon memounyai tanggungjawab untuk mendekati, menyantuni dan berupaya menarik sokongan daripada para pengundi agar memberikan undi kepada Perikatan Nasional pada hari mengundi nanti.
“Jadi, sudah tentulah peranan yang dimainkan dalam tempoh yang singkat ini, perlu digerakkan dengan team kempen yang terbaik, susun atur dan sebagainya.
“Saya pun, bagi pihak Dewan Ulamak, gembiralah sebab ramai juga dalam kalangan para ulama yang mewakili Perikatan Nasional pada kali ini,” ujarnya lagi.
Beliau mengambil contoh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin dan Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Azlisham Azahar yang bertanding pada PRN kali ini.
“Jadi kita rasa ini satu kepercayaan yang tinggilah diberikan oleh parti, oleh Perikatan Nasional sendiri kepada Dewan Ulamak.
“Untuk rakyat, saya mengira bahawa rakyat Johor ini adalah rakyat yang bijak, dan sebagai mana disebut oleh Presiden PAS yang mahukan rakyat Johor menjadi guru politik kepada negeri lain,” katanya.
Menurutnya, Presiden PAS mahu rakyat Johor sebagai guru itu di dalam memastikan pengundi negeri ini memilih calon dan parti yang terbaik iaitu daripada Perikatan Nasional.
“Kita terbukti, dari sudut kesatuan, dari sudut ketelusan, dari sudut integriti, jadi tawaran yang kita beri itu adalah tawaran yang terbaik untuk rakyat.
“Jadi kita mengharapkan, pada 12 (Mac) nanti, rakyat keluar beramai-ramai dan memberi undi kepada Perikatan Nasional,” katanya lagi.
Pada PRN Johor kali ini, 15 calon Perikatan Nasional adalah daripada PAS, Bersatu (33) dan Gerakan (lapan).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.
Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 25/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!