Oleh NOR HAZWANI NOH
JOHOR BAHRU: Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail melahirkan keyakinan bahawa para aktivis parti amat memahami peranan mereka dalam menghadapi pilihan raya.
Katanya, mereka faham sebagai wakil PAS yang berjuang untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang berlandaskan syariat Islam.
Beliau menyatakan demikian Ketika menyampaikan taujihat kepada calon-calon Perikatan Nasional daripada PAS pada majlis yang diadakan di Pejabat PAS Negeri Johor di sini, hari ini.
“Saya yakin yang hadir ini semuanya adalah daripada kalangan aktivis-aktivis parti yang cukup faham tentang peranan mereka sebagai wakil kepada parti PAS yang merupakan sebuah harakah Islamiyah yang berjuang untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang berlandaskan kepada syariat atau suruhan Allah SWT,” katanya.
Sebelum itu, ujarnya apa yang dilakukan kepada hari ini adalah merupakan salah satu daripada agenda perjuangan tersebut, maka sudah tentulah ia sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu bertembung dengan satu pasukan musuh hendaklah kamu tetap jangan cabut lari dan hendaklah kamu mengingati akan Allah SWT dengan ingatan yang banyak agar kamu mencapai kemenangan.
Tambahnya, dalam surah yang sama Allah memberikan rahsia kemenangan kepada golongan yang beriman.
Menurutnya, Allah yang maha berkuasa boleh menukar segala keputusan yang pada akalnya jauh daripada peluang kemenangan kepada diberikan kemenangan secara besar-besaran.
Beliau berkata, perkara yang sedemikian sangat difahami oleh golongan yang beriman bahawa ketentuan kemenangan itu di tangan Allah.
Jelas beliau, golongan yang beriman amat memahami perkara itu, maka mereka di dalam perjuangan tidak pernah mengenang putus asa.
“Tidak ada dalam sifir mereka kelemahan, perasaan kecewa dengan sebab menghadapi tentangan kerana mereka tahu bahawa sesungguhnya yang menentukan kemenangan adalah Allah SWT dan Allah berkuasa untuk membantu.
“Allah menyebut dalam ayat itu tadi pesanan kepada orang yang beriman macam mana keadaan pun jangan berundur (putus asa) kerana yang memberi kemenangan adalah Allah SWT.
“Allah SWT berpesan kepada kita jangan sekali-kali melalui perasaan putus asa, kerana kendali dan ketentuan bukan di tangan kita tetapi di tangan Allah,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka.
Justeru itu, ujarnya Allah SWT mengarahkan apabila berlaku pertempuran agar orang yang beriman memperbanyakkan ingatan kepada-Nya.
Katanya lagi, mereka diarahkan sentiasa membasahkan lidah dengan menyebut nama-Nya dan menghubungkan hatinya dengan Allah SWT secara mengagungkan dan membesarkan-Nya.
“Allah sebut dalam ayat itu petua untuk menang. Macam mana pun musuh, persediaan mereka, macam mana pun dana yang mereka habiskan, macam mana, tidak masuk akal pun kita boleh menang. Tuhan kata jangan sekali-kali kita merasakan lemah dan putus asa.
“Apa yang saya sebutkan tadi bahawa pesanan Allah mengandungi rahsia yang kita boleh kemenangan, tetapi dengan syarat kita tetap dan memperbanyakkan ingatan kepada Allah sehingga akhirnya Allah SWT berkehendak memberikan bantuan dan pertolongan, maka kemenangan berada di pihak golongan yang berjuang,” katanya.
Menurut beliau lagi, Allah SWT menurunkan ayat mengingatkan rahsia kemenangan.
“Allah mengingatkan contoh generasi yang terdahulu berjuang di dalam firman Allah dalam surah Ali-Imran yang bermaksud, Allah pujuk kepada golongan yang beriman mengingatkan kepada mereka apa yang sedang mereka lalui itu jangan menyebabkan mereka menjadi goncang kerana Allah berkuasa memberikan kemenangan.
“Maka Allah mengingatkan generasi terdahulu yang memberikan bantuan kepada para nabi mereka itu Allah sifatkan sebagai orang Rabbani,” jelasnya.
Tambahnya, golongan yang rabbani yang hidup berdasarkan manhaj Ilahi yang sangat memahami strategi-strategi parti.
“Mereka ini Tuhan kata sekali-kali itu tidak lemah jiwanya tidak lemah dengan apa yang mereka tempuh dalam peperangan daripada kesusahan, kecederaan dan pelbagai lagi.
“Anggota mereka tidak menjadi lesu dan mereka sekali-kali tidak berdiam diri dan Allah mencintai orang yang sabar.
“Lalu Allah menceritakan sebab apa mereka macam itu? Kerana lidah mereka, Allah kata sekali-kali tidak ada ucapan yang keluar dari mulut mereka melainkan mereka berkata: Ya Allah ampuni dosa kami, sifat kami yang melanggar syariat dalam urusan kami dan teguhkan kaki kami dan berikan kepada kami pertolongan kepada golongan yang menentang,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya para aktivis parti yang sudah berada di medan dan persiapan dari sudut strategi, semua sudah dilakukan yang berjuang dengan ikhlas daripada pelbagai bidang kepakaran masing-masing.
“Calon selain melaksanakan arahan, mulut kena basah dengan istighfar sungguh-sungguh, ingat Allah sahaja macam duduk Mekah.
“Insya-Allah sekiranya kemenangan itu telah menjadi ketentuan yang Allah kehendaki untuk kita, maka kita akan mendapat walaupun di sebalik kekurangan kita dengan kita mengisi syarat kemenangan untuk kita diberikan kemenangan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/2022