KETIKA saya dilantik sebagai Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor dalam bulan Mac tahun 2008, di antara perkara yang paling awal yang saya lakukan adalah menziarahi Exco Perumahan sebelum saya, Dato’ Mokhtar Ahmad Dahlan dari Umno-BN di rumah beliau. Saya telah pergi bersama seorang pegawai Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Dato’ banyak memberi nasihat dan panduan kepada saya.
Pada saya tidak salah untuk kita merendah diri dan mendengar pandangan orang lain walaupun ‘musuh politik’ kita. Saya masih ingat isteri beliau telah menghidangkan laksa Johor kepada kami. Ada orang menganggap pertemuan tersebut sebagai kunjung hormat tetapi pada saya ia adalah pertemuan di antara abang dan adik. Bukan satu program rasmi. Sebelum Dato’ Mokhtar meninggal dunia dalam tahun 2017, beliau telah beberapa kali menelefon saya apabila timbul isu-isu di Selangor. Saya amat menghargai nasihat beliau sebagai seorang bekas Exco yang mempunyai pengalaman yang luas.
Pada saya orang-orang politik perlu berbincang untuk kepentingan rakyat dan negara bukan berlumba-lumba menjatuhkan satu sama lain. Untuk menjadi hebat kita perlu melakukan yang lebih baik dari orang sebelum kita dan bukan menafikan atau memperlekehkan kejayaan orang sebelum kita. Pencapaian-pencapaian yang baik perlu dipuji. Orang yang hebat akan bersedia memberikan pujian tetapi orang yang lemah akan sentiasa merasakan diri mereka terancam.
Rakyat yang tidak partisan kepada mana-mana parti politik sudah tentu kebingungan dengan gelagat kebanyakan orang-orang politik hari ini. Pandemik COVID-19 masih belum dapat dikawal dengan sepenuhnya tetapi ramai yang berkata kebanyakan orang-orang politik tidak kelihatan memberi tumpuan kepada kesihatan, keselamatan atau survival rakyat. Mereka sibuk bertelagah di antara satu sama lain, jatuh menjatuh dan serang menyerang. Sanggup meletakkan rakyat di dalam bahaya semata-mata kerana survival politik masing-masing. Demi kuasa, segala-galanya mungkin.
Justeru mereka berbalas-balas serangan di antara satu sama lain dan berbangga apabila serangan mereka mengenai tepat pada sasarannya sehingga membuat lawan mereka terduduk. Tetapi rakyat yang memerhatikan tidak merasa kagum malah merasa mual dengan gelagat ini. Hanya ahli-ahli parti dan penyokong-penyokong tegar yang memberikan pujian. Pada rakyat mereka hanyalah bagai anak-anak kecil yang bergaduh berebut gula-gula.
Walaupun terdapat ‘gencatan senjata’ atau perjanjian namun keadaan masih serupa. Mungkin sentimen politik terlampau menguasai masyarakat kita. Sentimen politik diletakkan pada kedudukan paling tinggi. Kepentingan Islam dan kepentingan negara jika bertentangan dengan kepentingan politik akan diketepikan. Ramai di antara rakyat Malaysia yang makan politik, minum politik dan tidur politik. 24 jam setiap hari.
Kenapa kita tidak fokus kepada perkara-perkara yang boleh membina negara? Kita mahu negara ini kuat dan berjaya. Kita mahu rakyat negara ini hidup sejahtera. Memiliki akses yang saksama kepada kekayaan negara ini. Peluang pendidikan, peluang rawatan kesihatan dan peluang pekerjaan yang juga saksama. Kita mahu ahli-ahli politik, sama ada di dalam atau di luar kerajaan, berbahas atau berbincang mengenai inovasi-inovasi atau perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Mungkin mengenai tenaga lestari (sustainable energy) atau mungkin juga pertanian lestari (sustainable agriculture). Cukuplah dengan isu-isu sensasi yang tidak memerlukan IQ yang tinggi untuk memahaminya tetapi berpindahlah kepada isu-isu yang akan mencabar minda dan merangsang sel-sel otak. Daripada sains dan teknologi kepada seni dan sastera, pilihannya adalah terlalu luas.
Orang-orang politik sepatutnya berjiwa besar, berusaha untuk menjadi pemimpin manusia sejagat dan juga pemimpin sebuah tamadun (leaders of men and civilisation). Bukan sekadar pemimpin-pemimpin kelompok yang kecil, yang memikirkan kelompok mereka sahaja. Kita berada di dalam dunia tanpa sempadan. Tidak ada kelompok manusia yang dapat wujud terpisah daripada dunia di sekeliling mereka.
Kita sudah tentu mahu negara kita dipimpin oleh mereka yang bersih, jujur dan berintegriti bukan oleh mereka yang tidak boleh menjadi contoh kepada generasi yang satu hari nanti akan mengambil alih negara ini. Baru-baru ini duta Singapura telah dipanggil oleh Kementerian Luar India oleh kerana ucapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, di Parlimen negara itu pada 16 Februari lepas yang mendakwa hampir separuh dari Ahli-ahli Parlimen India (Lok Sabha) mempunyai pendakwaan jenayah termasuk membunuh dan merogol. India telah juga menghantar protes diplomatik kepada republik tersebut.
Negara kita belum lagi sampai ke tahap itu tetapi jika kita bertoleransi dengan sebarang salah laku pemimpin maka tidak ada jaminan kita tidak akan menghadapi masalah yang sama di masa akan datang. Kita tidak mahu mana-mana pemimpin negara kita disebut di negara orang sebagai satu contoh yang perlu dielakkan.
Kita juga tidak mahu generasi yang akan memimpin negara di masa akan datang tidak sensitif kepada sebarang salah laku pemimpin kerana akhirnya mereka akan mengulanginya apabila mereka mengambil alih kepimpinan negara. Jangan jadikan jenayah sebagai satu kebanggaan.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!