Pemimpin DAP langgar semangat Keluarga Malaysia

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kenyataan pemimpin DAP Dr P Ramasamy yang mendakwa pengislaman tiga anak Loh Siew Hong berpunca daripada penculikan dan paksaan dianggap sengaja mahu mencetus gelombang permusuhan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata, gambaran buruk yang diberi pemimpin DAP terbabit bertentangan sama sekali dengan semangat Keluarga Malaysia.

- Advertisement -

“Oleh itu kita meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan badan kehakiman untuk menyelesaikan tiga anak Loh yang memeluk Islam,” katanya di sini.

Baru-baru ini laman berita melaporkan Ramasamy mendakwa pihak berkuasa agama Perlis telah ‘menculik dan menukar agama’ tiga anak Loh yang masih kecil.

Asrul Aimran juga berkata, Pemuda PAS Perlis mengecam keras kenyataan provokatif yang bersifat pemimpin DAP terbabit yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Semua pihak usah menyemarakkan lagi api perkauman dan pertelingkahan antara agama dalam suasana negara yang aman damai.

“Perlembagaan Malaysia juga jelas menyatakan Islam sebagai agama rasmi. Malah, sebolehnya kita tidak mencampuri bidang kuasa mahkamah yang akan menyebabkan konflik bertambah kusut,” ujarnya.

Beliau juga berharap akidah anak-anak Loh yang sudah menganut Islam terus terpelihara walaupun berada di bawah jagaan mana-mana pihak. – HARAKAHDAILY 24/2/2022