SEOUL: Korea Selatan mengumumkan akan bergabung dengan negara-negara lain bagi mengenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia berhubung operasi ketenteraannya di Ukraine.
Presiden, Moon Jae-in berkata pada Khamis (24 Feb) bahawa negara itu akan menyokong usaha masyarakat antarabangsa untuk mengekang pencerobohan bersenjata dan mencari penyelesaian secara aman, termasuk dengan menyertai sekatan ekonomi.
Terdahulu, tentera Rusia dilaporkan telah melepaskan peluru berpandu ke beberapa bandar di Ukraine dan mendaratkan tentera di pantainya pada Khamis, selepas Presiden Vladimir Putin membenarkan apa yang disebutnya operasi ketenteraan khas di timur.
Pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara di Seoul, Moon berkata bahawa kedaulatan, wilayah dan kemerdekaan Ukraine mesti dihormati.
“Penggunaan kekuatan tentera yang menyebabkan kerosakan nyawa yang tidak bersalah tidak boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan,” ujar Moon yang bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai sekatan ekonomi yang mungkin dikenakan terhadap Rusia itu. – Reuters