Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Ibu seorang bayi berusia dua bulan lebih yang meninggal dunia Jumaat lalu ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan memgambil tindakan undang-undang terhadap pihak hospital berkenaan.
Rosilawati Ismail, 26, berkata, tuntutan saman itu dilakukan atas dakwaan kecuaian pihak hospital sehingga menyebabkan kematian anak pertamanya Muhammad Hilman Firdaus Muhammad Hilmi Firdaus.
Beliau mendakwa pihak hospital memberi susu yang tamat tempoh dan diberi ubat tidur tanpa meminta sebarang keizinan daripadanya.
“Tuntutan saman ini untuk memberi pengajaran terhadap pihak hospital supaya tidak berlaku kes kecuaian sehingga menyebabkan kematian.
“Sebagai seorang ibu saya amat tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan kerana saya melihat seolah banyak perkara yang dilakukan ke atas anak saya ketika mendapat rawatan adalah tidak wajar termasuk memberi minuman susu yang tamat tempoh.
“Begitu juga ketika memberi ‘ubat tidur’ mereka tidak meminta sebarang keizinan daripada saya. Ini membuat saya amat terkilan keranan sebelum disuntik anak saya berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini. Hadir sama suaminya Muhammad Hilmi Firdaus, 23.
Menurutnya juga ketika perjumpaan diadakan bersama pihak pengurusan HRPZII pada Isnin lalu seakan belum mendapat kata putus berhubung punca sebenar di atas kematian anaknya.
Kata beliau pihak hospital hanya memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Jawapan yang diberi pihak hospital tidak memuaskan hati saya kerana sebelum anak saya meninggal pihak hospital setiap hari diambil darahnya,” kata beliau.
Terdahulu, media melaporkan HRPZ II mengadakan pertemuan dengan keluarga bayi terbabit.
Pengarah HRPZ II, Dato’ Dr Selasawati Ghazali berkata pihaknya mengadakan siasatan melibatkan pakar perubatan, doktor dan jururawat yang merawat bayi itu berikutan tular video di Facebook milik Rosilawati yang kini meraih hampir 200,000 tontonan dengan lebih 5,000 perkongsian. – HARAKAHDAILY 24/2/2022