Hanya Perikatan Nasional berani minta calon angkat sumpah

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

JOHOR BAHRU: Setiap calon Perikatan Nasional akan mengangkat sumpah menolak rasuah dan salah guna kuasa serta berjanji menjalankan tanggungjawab dengan jujur sebagai langkah pertama membentuk kerajaan Perikatan Nasional Johor yang bersih.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, hanya Perikatan Nasional yang berani meminta calonnya mengangkat sumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk menjauhkan diri dari sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tugas dan tanggungjawab yang ada di hadapan kami adalah amat berat, tujuannya adalah supaya kerajaan Johor yang terbentuk nanti dapat merancang satu bentuk pembangunan lestari.

- Advertisement -

“Pembangunan lestari itu nanti yang akan dikecapi oleh rakyat Johor dari pelbagai aspek kehidupan, (termasuk) dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan, pekerjaan, alam sekitar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperkenalkan Calon Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Johor 2022, di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, janji tersebut adalah jaminan Perikatan Nasional terhadap rakyat Johor untuk melihat negeri itu bukan sahaja mampu membangun seperti sebelum ini, bahkan agar ia dapat ditingkatkan usaha menjadikan Johor sebagai teras pembangunan negara.

Katanya lagi, kesemua calon Perikatan Nasional yang diperkenalkan, disaring dan dihantar kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk semakan jika terdapat sebarang kes membabitkan mahkamah, rasuah dan bankrap.

“Di samping itu, parti juga buat saringan di samping kelayakan-kelayakan lain. Semua ini sudah dilakukan, sebab itu kita rasa mereka layak, dan diharapkan mereka akan menyerahkan borang penamaan calon pada 26 hari bulan, semuanya nanti akan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada PRN Johor kali ini, Perikatan Nasional bertanding di semua 56 kawasan DUN melibatkan 33 calon daripada Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 24/2/2022

- Advertisement -