Putin arah tentera Rusia memasuki dua wilayah pemisah Ukraine

- Advertisement -

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengarahkan pasukan tentera negaranya memasuki dua wilayah pemisah di timur Ukraine selepas mengiktiraf kemerdekaan wilayah berkenaan.

Tindakan Putin menjadikan krisis Ukraine semakin meruncing yang Barat bimbang akan membawa kepada peperangan.

- Advertisement -

Kereta kebal dan peralatan ketenteraan lain Rusia dilihat memasuki bandar dikuasai kumpulan pemisah, Donetsk, selepas Putin mengeluarkan dekri mengiktiraf wilayah pemisah berkenaan dan memberitahu Kementerian Pertahanan Rusia supaya menghantar tentera untuk `mengekalkan keamanan’.

Tindakan Rusia pantas mengundang kecaman Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang berikrar untuk mengenakan sekatan baharu. Namun, belum jelas sama ada tindakan Rusia adalah langkah awal untuk melakukan serangan secara besar-besaran terhadap Ukraine.

Seorang pegawai kanan AS berkata, penghantaran tentera ke wilayah yang memang dikuasai pemisah pro-Rusia belum boleh dikategorikan sebagai penaklukan yang perlu dikenakan sekatan ketat. Bagaimanapun, kempen ketenteraan lebih serius boleh berlaku pada bila-bila masa.

Walaupun belum ada maklumat lanjut berhubung kekuatan tentera yang dikerahkan, dekri itu menyatakan Rusia sekarang mempunyai hak untuk membina pangkalan tentera di wilayah pemisah.

Ketika pengumuman yang disiarkan stesen televisyen kerajaan, Putin yang kelihatan marah menyifatkan Ukraine sebagai sebahagian daripada sejarah Rusia dan timur negara itu adalah kawasan Rusia zaman dahulu.

Siaran televisyen menunjukkan Putin yang disertai pemimpin pemisah menandatangani dekri mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah pemisah Ukraine, Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk.

Tanpa mempedulikan amaran Barat, Kremlin menyatakan Putin memaklumkan keputusannya dalam panggilan telefon kepada pemimpin Perancis dan Jerman.

Tindakan Moscow ibarat bedilan torpedo pada saat akhir menjelang sidang kemuncak dengan Presiden AS, Joe Biden. Namun pegawai kanan AS kini ragu-ragu sama ada sidang kemuncak itu akan menjadi kenyataan.

Sementara itu harga minyak meningkat paling tinggi dalam tempoh tujuh tahun, pergerakan sesetengah matawang utama seperti Yen Jepun juga meningkat, manakala pasaran saham hadapan AS menjunam berikutan kebimbangan peperangan melanda timur Eropah.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, yang menerima panggilan solidariti daripada Biden, mendakwa Rusia memusnahkan rundingan damai dan menolak konsesi wilayah dalam ucapannya kepada rakyat negaranya, hari ini.

Biden yang bercakap dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Olaf Scholz, dengan segera menandatangani perintah eksekutif untuk menghentikan aktiviti perniagaan di wilayah pemisah dan mengharamkan import semua barangan dari wilayah berkenaan.

Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki, berkata perintah itu berbeza dengan sekatan yang AS dan sekutu sedia laksanakan jika Rusia menceroboh Ukraine.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata perintah itu dibuat untuk mencegah Rusia mendapat manfaat dengan melanggar undang-undang antarabangsa.

Sementara itu berikutan permintaan AS, Britain dan Perancis, diplomat Rusia berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan bermesyuarat bagi membincangkan perkembangan di Ukraine, hari ini.

Jurucakap Canselor Jerman, Olaf Scholz, pula berkata Jerman, Perancis dan AS, bersetuju untuk bertindak balas dengan mengenakan sekatan, manakala Menteri Luar British, Liz Truss, berkata negaranya juga akan mengumumkan sekatan baharu, hari ini.

Setiausaha Agung NATO, Jeneral Jens Stoltenberg, mendakwa Moscow cuba berhelah untuk melakukan penaklukan selepas melakukan taktik serupa pada 2014 apabila Rusia merampas wilayah Crimea dari Ukraine.

Dalam ucapannya, Putin membangkitkan sejarah Rusia sejak zaman empayar Ottoman hingga perkembangan terkini dengan perluasan NATO ke timur Eropah serta menuntut Ukraine menghentikan hasrat menyertai NATO yang dinafikan oleh Kiev dan NATO.

Berikutan keputusannya mengiktiraf kemerdekaan wilayah pemisah Ukraine, Putin menepis amaran Barat.

“Saya percaya penting untuk membuat keputusan yang sepatutnya dilakukan sejak dulu lagi, mengiktiraf dengan serta merta kemerdekaan dan kedaulatan Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk,” katanya. – REUTERS

- Advertisement -